Berakhirnya zaman Perdana Menteri berlagak Presiden, jadi kunci perubahan pada 2021, kata Liew

 

Perdana Menteri kini perlu mencari kebersamaan, dengan usaha seperti memeterai MoU bersama pembangkang dan mencari titik bersama dalam gabungan, kata Liew Chin Tong. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Berakhirnya zaman Perdana Menteri berlagak Presiden menjadi pemangkin perubahan terbesar dalam merubah wajah demokrasi negara ini yang berlaku pada 2021, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

“Pada 2021, peningkatan kes Covid-19 yang hanya menurun pada Oktober, pengisytiharan darurat yang bermula pada 12 Januari dan tamat pada 1 Ogos, perintah kawalan pergerakan (PKP) berkali-kali yang memburukkan lagi krisis ekonomi, dan peletakan jawatan Perdana Menteri pada Ogos.

“Tidak cukup dengan itu, 2021 berakhir dengan bencana banjir di Selangor, iaitu negeri terkaya di Malaysia, sekitar Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan lain yang turut terkesan,” katanya dalam kenyataan.

Namun, Liew berkata, perubahan tidak dijangka sama sekali adalah berakhirnya zaman Perdana Menteri berlagak Presiden sejak 61 tahun lalu. Ketika ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bukan sahaja tidak menjadi presiden partinya, bahkan tidak memegang sebarang portfolio menteri lain.

“Sejak kemerdekaan pada 1957 hingga pilihan raya umum 2018, UMNO telah mendominasi negara dan berada di puncak kuasa melalui Presidennya yang juga merupakan Perdana Menteri

“Struktur kuasa Perdana Menteri yang semakin besar telah menguasai badan eksekutif, kehakiman, dan juga kerajaan-kerajaan negeri apabila kebanyakan Ketua Menteri dan Menteri Besar merupakan Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang dilantik oleh Presiden parti.

Liew berkata, Perdana Menteri kini tidak lagi ditakuti rakyat dan tidak boleh membuli semua pihak untuk mendapatkan apa yang beliau mahukan. Kini, beliau perlu mencari persefahaman dengan semua pemegang taruh untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Menurut Liew, kehilangan kuasa Perdana Menteri berlagak Presiden bukan sahaja menjadi perkembangan ketara yang berlaku pada 2021. Bahkan, kemunculan gabungan parti yang setara, kerjasama dwipartisan, kepentingan kuasa negeri, dan pengundi muda serta pemain politik baharu.

“Kini, mana-mana Perdana Menteri yang mahu kekal berkuasa perlu bergantung kepada sokongan rakan gabungan serta pembangkang melalui perjanjian atau persefahaman keyakinan dan pembekalan sokongan. Gabungan itu akan kekal kukuh jika setiap parti bersetuju dengan matlamat yang sama, dan tidak cuba untuk tikam belakang.

“Bagi mencapai hasrat demokrasi Malaysia, ia perlu melalui proses, sama ada semua pihak menewaskan UMNO sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang atau UMNO sendiri mampu mereformasikan diri untuk menerima demokrasi.

Bagaimanapun, Kerjasama dua hala dalam suasana politik yang terpisah-pisah bukan sesuatu yang mudah. Namun, Malaysia tidak boleh maju tanpa membentuk persepakatan dan kerjasama dwipartisan, kata Liew.

“MoU ini diserang oleh dua pihak yang mahu menangguk di air keruh: kumpulan pemimpin utama UMNO mahu pilihan raya mengejut diadakan melalui tekanan terhadap Ismail Sabri, dan kumpulan daripada pembangkang seperti Warisan. .”

Liew berpandangan, selepas pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Sarawak, memberi lebih kuasa kepada negeri mampu mendorong ekonomi mara ke hadapan dan pengurusan lebih baik terutama ketika pandemik.

“Memberi lebih banyak kuasa kepada negeri dapat memajukan ekonomi Malaysia dan menguruskan pandemik dengan lebih baik. Negeri berhak menerima hasil cukai pendapatan yang dikutip di wilayah masing-masing.

“Penambahan pendapatan ini memerlukan kebertanggungjawaban kerajaan negeri menguruskan sektor kesihatan dan pendidikan seperti yang diamalkan oleh negara-negara federalisme di seluruh dunia,” katanya.

Satu lagi hasil positif MoU di antara kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan ialah pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Kini, umur layak mengundi adalah 18 tahun, dan mereka yang belum berdaftar sebagai pengundi akan dimasukkan dalam senarai daftar pemilih. Hampir 5.8 juta pengundi baharu akan ditambah dalam senarai daftar pemilih yang berjumlah hampir 15 juta pengundi.

Liew yakin bahawa sekiranya demokrasi pada masa hadapan tidak lagi mundur, perkembangan yang dilihat kini dijangka membawa harapan kepada amalan demokratik di Malaysia.