WAJIB BACA TERUTAMA MAKCIK PEKAN YANG BERLAGAK CERDIK SANGAT...JOM BANYAK MEMBACA.

 Siri 1

Banyak soalan-soalan yang saya terima di ruang komen berkenaan undang-undang dalam kes DS Najib.
Saya pilih beberapa soalan yang diulang di ruang komen. Saya cuba pendekkan tulisan ini sehabis mudah untuk kefahaman semua peringkat.
Pertama sebelum mulakan, eloklah kiranya kita tahu fakta pertuduhan kes DS Najib yang diputuskan semalam? Apa puncanya? Sebab masih ada yang keliru dan tidak faham.
Sewaktu kes ini dimulakan, saya kira ada yang mungkin tercampur fakta kerana ketika ini banyak pertuduhan kes di mahkamah yang melibatkan individu lain dalam tempoh masa yang lebih kurang sama. Misalnya kes Tengku Adnan, Datin Rosmah, Bung Moktar dan isteri, Abdul Azeez, Zaid Hamidi dll. Kes yang berbeza-beza dengan fakta yang lain.
Barangkali buat ramai keliru dan nampak campur aduk. Kes mereka berlainan. Transaksi dan aliran wang yang berlainan. Namun, kesalahannya berkisar tentang rasuah, penyelewengan wang dan pengubahan wang haram.
Bagi kes DS Najib ini, berikut adalah faktanya yang saya rumuskan dari Alasan Penghakiman Kes.
Ada 7 pertuduhan semuanya untuk transaksi bernilai RM42 juta dari SRC International Sdn. Bhd ke akaun peribadi DS Najib. SRC ditubuhkan pada 7.1.2011 sebagai syarikat private limited company.
Pertuduhan pertama ini adalah bagi nilai suapan sebanyak RM42 juta ringgit yang dikaitkan pada 17.8.2011, sewaktu DS Najib adalah Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan Malaysia (juga merupakan pegawai badan awam seperti dalam pertuduhan) telah terlibat dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.
Ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
Selepas pinjaman sebanyak RM4 Bilion ini diluluskan dengan jaminan kerajaan (pada 2011 sebanyak 2 Bilion dan pada 2012 sebanyak 2 Bilion), kemudian terdapat transaksi pindahan wang pada 24.12.2014 sebanyak RM40 juta dari SRC dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat iaitu GMSB.
Pada tarikh ini juga GMSB mengarahkan bank memasukkan wang RM40 juta ini ke dalam satu akaun syarikat lain iaitu IPSB.
Selang beberapa hari kemudian iaitu, pada 26.12.2014, dua transaksi dari IPSB dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib. Transaksi pertama bernilai RM27 juta, transaksi kedua bernilai RM5 juta.
Sekali lagi pada 2015, berlaku transaksi dari SRC ke GMSB ke IPSB dan ke dalam akaun peribadi DS Najib bagi nilai RM10 juta. Secara keseluruhannya wang dimasukkan ke akaun peribadi DS Najib secara aliran ini adalah sebanyak RM42 juta.
Transaksi-transaksi inilah yang merupakan kesalahan pecah amanah bagi pertuduhan kedua (RM27 juta) , ketiga (RM5 juta) dan keempat (RM10 juta) iaitu bagi kesalahan bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Jadi memandangkan hasil wang ini adalah pecah amanah, bermakna ianya merupakan hasil daripada aktiviti haram. Ini adalah merupakan kesalahan bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram bagi pertuduhan kelima (untuk transaksi RM27 juta), pertuduhan keenam (untuk transaksi RM5 juta) dan pertuduhan ketujuh (untuk transaksi RM10 juta).
Secara keseluruhanannya, perbicaraan bagi kes pendakwaan dan pembelaan selama 86 hari dengan saksi pendakwaan seramai 57 orang dan pembelaan 18 orang.
Berdasarkan alasan penghakiman, antara pembelaan DS Najib adalah wang ke dalam akaunnya tersebut digunakan untuk tujuan CSR tetapi team pembelaan gagal membuktikan bahawa dia diberikan kuasa atau arahan untuk mengadakan program CSR bagi SRC, GMSB atau IPSB.
Pembelaan berkenaan duit ini adalah derma dari Arab, ada surat yang dilampirkan namun pembuat surat tersebut tidak pernah dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan. Mahupun keaslian surat tersebut, tidak dihujahkan di mahkamah sewaktu perbicaraan. Maka dianggap surat tersebut adalah 'hearsay' dan tidak boleh dipakai.
Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan juga hukuman kepada DS Najib. Bermakna pihak pendakwaraya telah berjaya membuktikan kes mereka tanpa keraguan munasabah.
Dapatan oleh 3 panel Hakim Mahkamah Rayuan merungkai setiap elemen dalam setiap kesalahan berdasarkan pertuduhan. Sama ada DS Najib pegawai badan awam, sama ada wang tersebut adalah untuk kepentingan sendiri, sama ada telah berlaku pecah amanah, sama ada wang tersebut adalah dari aktiviti haram dll. Diputuskan bahawa terdapat semua elemen-elemen dalam setiap pertuduhan tersebut.
Bagi 7 pertuduhan ini, hukumannya adalah penjara 12 tahun secara serentak (kalau berasingan lebih tinggi) dan denda RM210 juta ringgit.
Dilaporkan oleh The Edge Market, pada 8 April 2021. Salah seorang panel Hakim iaitu Yang Arif Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bertanyakan kepada peguam DS Najib, apa berlaku kepada pinjaman RM4 Bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.
Jawab peguam DS Najib. "Tiada siapa tahu". Saya berikan linknya di ruang komen.
Alasan penghakiman ini mengandungi 317 muka surat manakala rumusannya 54 muka surat. Saya cuba pendekkan tetapi masih juga panjang. Jadi saya akan menulis beberapa siri. Tulisan saya berdasarkan alasan penghakiman dan laporan berita sahaja. Saya tidak menulis pendapat untuk menyokong atau menentang. Hanya fakta.
Tulisan seterusnya, saya akan tulis berkaitan kenapa mahkamah menolak permohonan DS Najib bagi memasukkan bukti baru dalam kes ini dan beberapa soalan lain yang dikemukakan. Mengapa DS Najib masih lepas bebas? Dan segala soalan lain yang ada ditanya.
Nanti panjang berjela tulisan ini tetapi sebelum jawab persoalan, kalian perlu faham fakta kes dahulu.
Oleh Nor Zabetha






No comments: