DUN N20 Tarat tidak begitu jauh dari bandaraya Kuching kira kira
40 kilometer, namun rakyat di sana masih belum menikmati bekalan air bersih 24
jam.
Menurut calon KEADILAN DUN Tarat, Christo Anak Micheal, bekalan air bersih di kawasan itu kerap kali mudah diperolehi pada waktu malam kerana masalah tekanan air yang rendah dan bermasalah apabila digunakan oleh banyak penduduk.
"Kawasan saya masih ketinggalan dari segi banyak perkara. Kita masih menghadapi masalah air bersih dan elektrik 24 jam. Kita ada air bersih tetapi tidak 24 jam.
"Dalam kehidupan seharian air hanya akan ada selepas 12 malam. Sebab tekanan air yang rendah.
"Masalah ini kalau saya lihat di Tarat berlaku sejak 20 tahun lepas. Semenjak saya tingkatan 4. Dekat 30 tahun masih membelenggu kita," katanya.
Beliau juga tidak berpuas hati dengan bekalan elektrik yang masih tidak stabil di kawasan berkenaan.
Mengenai kemudahan internet, Christo berkata, banyak menara telekomunikasi dibina namun tidak beroperasi dan capaian internet di Tarat tidak stabil.
"Kita hadapi masalah internet, kita ada menara telekomunikasi banyak tetapi ianya tidak berfungsi. Pembinaan menara ini di bawah syarikat kerajaan negeri. Sepatutnya kerajaan yang mentadbir negeri mereka boleh jadi pemudah cara masalah internet ini
"Saya pasti di sebalik line internet tidak bagus memberi masalah dalam pembelajaran dan pengajaran oleh cikgu. Saya juga nampak masalah tanah. Ramai penyokong GPS mengatakan isu ini isu lapuk. Tetapi bagi saya selagi tak dapat diselesaikan selagi itu menjadi isu utama yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat atau penduduk tempatan.
"Saya lihat perkara ini serius walaupun saya dapati kerajaan tidak berminat selesaikan masalah ini," katanya.
Christo berkata pengundi perlu melakukan perubahan kali ini dengan mengundi KEADILAN untuk membentuk kerajaan baharu. Beliau berjanji akan membaiki kemudahan asas.
Beliau juga berjanji akan memperbaiki kemudahan jalan dan penurapan lorong kampung yang dilakukan secara berpilih pilih ketika ini antara penyokong kerajaan dan pembangkang