Malaysia yang berdarah!

 



Tiada seorang pun yang kan berjaya saatnya ada yang ditinggalkan

By

 Sukeshini Nair

 

21 Dec 2021


Sejak beberapa bulan yang lalu, saya hanya menjalani kehidupan dengan kemarahan yang bersilih ganti.

Tampaknya semua seakan bertembung antara satu sama lain seperti susun suai gambar (jigsaw puzzle) yang bercelaru. Dan gambar yang terlihat dari bongkah suai gambar ini tidaklah begitu menyenangkan.

Pun, kita tetap berada di sini, terhimpit dalam kedudukan sukar untuk mengubah gambar yang ada, hatta menyedari ia sebuah tugas sukar. Dari mana kita hendak bermula? Atau adakah ianya seperti mencurah garam ke laut?

Baru-baru ini, antara bongkah suai gambar itu adalah sebuah ‘syarikat berpangkalan di Singapura’ iaitu Grab. Grab juga baru disenaraikan di bursa saham Nasdaq yang memfokuskan kepada teknologi di US.

Perasaan saya cukup berkecamuk. Pada awalnya, ia adalah rasa cemburu. Negara seperti Singapura yang pada awalnya setara dengan kita, tiba-tiba menjadi lebih maju dari kita.

Kemudian rasa cemburu itu berubah menjadi memalukan saat saya mula menyedari bahawa tampaknya kita semakin terkebelakang jika dibandingkan dengan negara seperti Vietnam dan Indonesia, yang dulunya lebih miskin dari kita.

Yang menyelubungi perasaan ini semua adalah kesedihan. Bayangkan, Grab itu dulunya ‘anak’ kita. Dibikin warga Malaysia sebelum menjadi warga Singapura. Dan kita kemudian melepaskannya!

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Seperti Grab, kedua-dua anak kandung saya sendiri sudah pun meninggalkan negara ini juga. Tanyalah mana-mana keluarga kelas menengah di Malaysia yang bukan-bumiputera dan akan ada perkara serupa yang terjadi – ‘kehilangan’ seorang dua anak ke negara lain.

Pun, saya masih punya harapan dan suatu hari saya bertanya pada anak perempuan saya jika beliau terfikir untuk pulang ke rumah.

Namun apa yang diucapkannya hanyalah “Bagaimana, Ma? Malaysia tidak mahukan kita.”

Begitulah bagaimana semua kesedihan ini menjadi luka paling dalam. Saya tidak mampu untuk menghentikan kesakitan ini.

Hari ini, saya merasakannya setiap masa. Ia menggigit seakan sebuah kesakitan yang menyebukan dalam dada dan mencengkam setiap kali saya merindui untuk melihat dan memegang erat anak saya.

Dalam sedar atau tidak, melepaskan barang berharga kepada negara lain nampaknya seperti apa yang Malaysia lakukan dengan baik, Grab, bagi saya, adalah seperti metafora akan kehilangan kita kerana mengutamakan hal lain, dengan polisi memboroskan, ketidakyakinan, rasuah serta yang paling besar, sikap saling tidak percaya antara kaum dan agama.

READ MORE:  Sembang kedai kopi: Apa yang kita perlukan bagi mengubah Malaysia?

 

Ada segelintir menyatakan bahawa Grab meninggalkan Malaysia kerana pendanaan yang tidak mencukupi di dalam ekosistem kewangan serta tidak kondusif bagi syarikat permulaan (start-ups). Namun, mereka yang biasa dengan sistem di Malaysia mungkin merasakan apa yang akan terjadi pastinya berbeza jika Grab diasaskan oleh bumiputera. Ia sesuatu yang perlu kita fikirkan bersama.

Selain daripada ‘terlepas’ syarikat yang diasaskan di Malaysia, pelabur asing juga nampaknya meninggalkan Malaysia. Beberapa nama besar sudah pun meninggalkan kita. Selain dari pengenalan sistem 5G yang perlahan, syarikat antarabangsa ini juga ada menyebut bagaimana kekurangan tenaga kerja tempatan yang berbakat (lebih-lebih lagi bakat digital) sebagai alasan utama mengapa mereka meninggalkan Malaysia.

Jadi apa yang berlaku? Mengapa kita tidak bertindak pantas dan efisien terhadap tuntutan pasaran yang kritikal ini? Tentang soal kelajuan internet 5G itu, nampaknya semangat kita yang mahu melompat terus ke era revolusi industri keempat seakan sudah terlambat. Korea Selatan, Singapura, China serta Vietnam yang pernah dilanda perang itu sendiri mempunyai kelajuan internet yang lebih pantas dari kita.

Kuncitara yang berlaku pada 2020 menyaksikan bagaimana Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan talian internet bagi menyiapkan peperiksaan dalam taliannya. Bukan saja perkara ini cukup memalukan, ia juga menunjukkan bagaimana pemimpin kita gagal dan leka untuk terus maju supaya kita terus kekal berdaya saing.

Pun, nampaknya kita lebih peka akan hal lain – misalannya perkara yang melibatkan wiski dengan nama berbunyi ‘Melayu’, soal kedai nombor 4D, serta mereka yang memilih untuk memakai baju secara songsang (crossdresser). Sungguh mengagumkan bagaimana negara kita cukup bersiap-siaga untuk menggunakan segala kekuatan kerajaan yang ada bagi menangkap seorang wanita transgender yang baru pulang dari Thailand.

Saya juga cukup ‘kagum’ dengan cara kita menyalurkan tenaga dengan, acapkali, bersungguh-sungguh, melihat kepada sekolah vernakular serta hak mereka untuk wujud seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sementara itu, mereka yang mahu memansuhkan sekolah vernakular nampaknya terlepas pandang dua perkara penting.

Pertamanya, mereka gagal untuk melihat bagaimana sekolah kebangsaan tidak lagi berdaya menahan beban proses Islamisasi, yang mengakibatkan pelajar bukan-bumiputera terus terpinggir dan diasingkan.

READ MORE:  Just a storm in a Timah cup! Or was it?

 

Kualiti pengetua dan guru sekolah yang semakin menjunam akibat mereka yang dilantik oleh kerana mereka dari kaum ‘istimewa’ (dan bukan kerana merekalah yang terbaik) juga sekaligus memberi kesan kepada kualiti sistem pendidikan kita.

Kita melihat tahap kualiti yang semakin merudum dalam soal keupayaan menguasai pelbagai bahasa, pemikiran kreatif dan kritikal serta kemampuan menyelesaikan masalah. Kedudukan kita di dalam ujian pendidikan globa Pisa (yang mengira tahap kebolehan pelajar dalam menggunakan pembelajaran mereka bagi menyelesaikan permasalahan harian melibatkan kemampuan membaca, sains dan matematik) juga berada di bawah purata.

Kedua, akibat dari merudumnya kualiti sekolah kebangsaan, sekolah vernakular secara ironiknya menjadi semakin popular di kalangan ibu bapa dari golongan minoriti – dan juga, menariknya, ibu bapa berketurunan Melayu juga.

Apa yang saya sedari tentang Malaysia adalah saatnya ada peluang bagi mencabar, bersaing dan meningkatkan tahap kolektif semua yang terlibat di lapangan, akan muncul politikus xenofobik yang cukup sempit fikiran kemudiannya akan memetik akan keperluan bagi polisi afirmatif atau alasan lain bagi meminda peraturan atau polisi yang mencantas atau menafikan ruang persaingan. Beberapa pemain utama syarikat korporat menjadi mangsa akibat tindakan sebegini.

Jika mencantas persaingan tidak terlalu ekonomikal, cara mudah dan malas lainnya adalah dengan merampas sebahagian besar pegangan bisnes menerusi perundangan atau cara lain. Kita melihat perkara ini berlaku menerusi percubaan bagi memindah hak milik sekurang-kurangnya 51% ekuiti syarikat logistik kepada bumiputera – sebuah langkah yang bukan saja tidak beretika, tetapi pada saya, juga sebuah ‘rompakan’ di siang hari yang cukup semberono.

Sekali lagi, pemimpin kita cukup pendek akal dan tidak sedar akan kesan jangka masa panjang undang-undang yang sebegitu. Nassim Nicholas Taleb, pengarang buku Skin in the Game, menyatakan bahawa jika peniaga tidak lagi mempertaruhkan segala-galanya di dalam bisnes, serta tidak lagi melaburkan jerih peluh, darah dan air mata, besar kemungkinan mereka tidak akan berupaya bagi menampung perkembangan serta kecekapan apatah lagi untuk menunggang segala ketidakpastian, serba ketidakmungkinan serta kerawakan di dalam hidup serta perniagaan.

Mereka akan gagal. Lihat saja bagaimana begitu ramai kontraktor bumiputera yang biasa disuap dengan kontrak dari kerajaan: selepas lima dekad, mereka masih tidak mampu untuk bersaing jika kerajaan tidak mendukung mereka. Kontraktor sebegini terlalu biasa dengan keistimewaan sebegini mengakibatkan mereka lupa bahawa mereka yang membayar cukai bagi ‘menyuap’ mereka semakin mengecil.

READ MORE:  What ails the medical profession?

 

Menjadi kaya dengan mudah atas nama tindakan afirmatif nampaknya melarat ke dalam ruang budaya yang berlainan. Dengan keadaan yang bercelaru ini, kleptokrasi mula muncul menjadi ragam budaya yang semakin diterima serta menjadi amalan para politikus serta pendukung mereka.

Namun begitu, entahkan rahmat atau pun tidak, pada 2016, ragam budaya sebegitu menjadi tamparan kepada muka kita semua, saatnya 1MDB menjadi “skandal kewangan terbesar dalam dunia” – sebuah lagi perkara yang cukup memalukan serta akan ditanggung oleh pembayar cukai kita semua!

Tidak dapat dinafikan, kita sekarang ini mengalami pendarahan yang membuak-buak. Setiap satu, kita kerugian berbilion akibat rasuah. Kita melukakan syarikat asal tempatan; kita melukakan pelabur asing.

Kesan penuh dari polisi serta tindakan songsang sebegini mengakibatkan pendarahan yang paling teruk – di mana kita kehilangan anak-anak kita, yang di mana, dengan merekalah terkandung bakat terbaik yang kita ada.

Kehilangan itu bukan sahaja melibatkan mereka yang mampu untuk keluar tetapi juga mereka yang terpaksa kekal. Bagi setiap anak yang memilih untuk keluar, ribuan yang lain dipinggirkan atau tidak membesar bagi memenuhi potensi diri mereka.

Saya merujuk kepada anak kita semua – Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, Melanau serta semua anak negeri ini, yang lahir dengan warna kulit yang berlainan. Kita juga semakin kehilangan mereka. Saatnya kita kehilangan anak anak kita, kita juga kehilangan segala harapan bagi sebuah masa depan yang makmur dan bermaruah.

Jika kita tidak melakukan apa-apa, jika orang kita enggan berfikir, jika polisi afirmatif tidak diselia dan dibangunkan semula bagi membantu kelompok berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, negara ini tidak akan mampu bangkit dari kelumpuhan.

Kita perlu membangun bersama. Kita perlu menjadi satu. Tiada seorang pun yang kan berjaya saatnya ada yang ditinggalkan. Kita mampu melakukannya jika kita berupaya mencari paradigma baru.

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

 

No comments: