APABILA PEGAWAI YANG BERTUGAS MULA TUNJUK KUASA. RAKYAT JADI MANGSA..TIADA TOLAK ANSUR DAN TIMBANG TARA

 



Seminggu selepas banjir, mangsa masih menanti bantuan





Pemandangan dari udara kawasan terjejas banjir di Kampung Kubu
 Gajah, Sungai Buloh. (Gambar Rohkiah Abdul Aziz)

PETALING JAYA: Kehidupan agak sukar buat Rashdan Iswandi sejak pelaksanaan sekatan penuh. Pertama, majikannya jatuh muflis dan dia hilang pekerjaan. Selepas itu pula dia hilang penglihatan akibat kecederaan lama dan terpaksa menjalani pembedahan.

Sebaik saja lelaki berusia 42 tahun itu pulih daripada pembedahan, rumahnya pula dilanda banjir di Sungai Buloh.

Minggu lalu, rumah yang disewanya sekeluarga di perkarangan sebuah sekolah tahfiz, ditenggelami air setinggi satu meter menyebabkan mereka dan tujuh lagi keluarga lain terkandas di atas bumbung.

Rumah mereka di Kampung Kubu Gajah terletak bersebelahan Sungai Subang di mana tebing sungai itu pecah ketika hujan lebat melanda.

Semua keluarga itu mendakwa bantuan bot penyelamat tidak mengendahkan rayuan pertolongan mereka sepanjang malam pada 18 Dis.

Keadaan di Kampung Kubu Gajah ketika dilanda banjir pada 18 Dis.
 (Gambar Rohkiah Abdul Aziz)

Banjir surut keesokan harinya dan isteri Rashdan, Rohkiah Abdul Aziz mendapati peti sejuk dan barangan lain yang digunakannya di gerai laksanya rosak. Dua kereta yang digunakan keluarga itu turut ditenggelami air berlumpur.

Rohkiah, yang berasal dari Pulau Pinang itu mengusahakan gerai tepi jalan dikenali sebagai Cik Kiah Laksa.

Ketika dihubungi, dia yang menceritakan kejadian itu berkata, mereka terpaksa bergerak jauh ke kem bantuan untuk mendapatkan makanan panas dan keperluan asas.

Namun mereka tidak dilayan. Pegawainya berkata barangan terbabit telah dicatu untuk “kawasan tertentu” saja dan orang luar tidak boleh diberikan bantuan itu.

“Mereka minta kami menunggu bantuan di kawasan kami,” katanya kepada FMT. “Mereka enggan mengubah fikiran biarpun kami menunggu untuk mendapat lebihan makanan atau makanan yang tidak diambil. Jadi kami kembali pulang.

“Malah sehingga sekarang tiada satu pun agensi kerajaan atau wakil rakyat datang membantu. Kami terasa seperti pelarian di sebuah kem,”

Rohkiah berkata tuan rumahnya kemudiannya menyumbangkan telur, beras dan beberapa barang makanan namun dia mendermakan kepada jiran yang hamil dan orang tua “yang lebih memerlukannya”.

Dia mendapat tahu bahawa seseorang perlu melengkapkan prosedur tertentu untuk layak menerima bantuan.

Pertama, seseorang perlu membuat laporan polis. Bagaimanapun, dia perlu mengambil masa lapan jam untuk ke balai polis terletak sejauh 5 kilometer (km) di Sungai Pelong kerana hanya seorang saja pegawai yang bertugas.

“Saya perlu mengisi tiga borang, satu kepada pegawai daerah, satu ke pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan satu lagi kepada pusat zakat.

“Semua borang telah diisi pada 20 Dis dan dihantar ke pejabat penghulu tetapi kini sudah seminggu dan tiada khabar berita daripada mana-mana pihak.”

Dia terpaksa merayu bantuan daripada orang ramai untuk mendapatkan tilam, bantal, dapur, tong gas dan peralatan dapur.

Rohkiah berkata dia dan jirannya kini bingung memikirkan bagaimana untuk membayar sewa RM800 sebulan.

“Kami tidak tahu apa yang boleh dilakukan. Kami mengharapkan seseorang boleh membantu.”

No comments: