AMANAH Sarawak desak PRN diadakan lepas darurat elak risiko wabak

 


Oleh RAYMOND LUI / October 16, 2021

 

 

Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dalam tempoh darurat sehingga 2 Februari 2022.

Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, langkah mengadakan PRN12 dalam masa terdekat ini haruslah dielakkan kerana ia mampu mengundangkan risiko lebih-lebih lagi dengan kes Covid-19 yang belum nampak reda sekarang.

“Kita mengambil maklum terdapat arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkaitan urusan pilihan raya kepada kumpulan tertentu bagi menghadapi PRN12 dalam masa terdekat ini.

“Sebagai parti yang mendokong sistem demokrasi dan mengambil berat kesihatan awam, AMANAH Sarawak berpendapat mengadakan pilihan raya dalam tempoh darurat yang ditetapkan sehingga 2 Februari 2022 adalah suatu risiko kesihatan yang perlu dielakkan” soal Abang Halil dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Malah, tegasnya pada masa sama pemimpin GPS seolah-olah ingin mengelak penglibatan pengundi berumur 18 tahun ini yang hanya dapat diwartakan seawal tahun depan jika PRN12 diadakan hujung tahun ini.

“Perkara ini kelihatan bercanggah dengan kenyataan Menteri Muda Datuk Abdullah Saidol yang menyatakan GPS sentiasa bersedia berdepan undi18 pada PRN12 kelak.

” Oleh demikian, AMANAH Sarawak mendesak agar PRN ini hanya diadakan selepas tamat darurat yang telah ditetapkan dan pengundi 18 telah sah dan dapat terlibat sebagai pemilih dalam PRN12 nanti,” ujar beliau lagi.

 



No comments: