RAKYAT AKAN TERUS TERKURUNG DALAM KEHIDUPAN SELAGI MAHIADDIN TIDAK SEGERA DIBUANG

 

Sebagaimana disebut banyak kali dan diperkatakan pelbagai pihak, kegagalan utama kerajaan dan Mahiaddin Md Yasin ialah mengawal penularan wabak Covid19.

Berikutan kegagalan itu, selain ekonomi negara jadi lumpuh, kehidupan dan poket rakyat juga jadi semakin koyak.

Ia seterusnya menjadikan rakyat tambah tertekan dalam menjalani kehidupan sehingga ramai yang mahu bunuh diri dan terjun bangunan.

Paling utama yang menyumbang kepada kegagalan itu ialah perlaksanaan PKP berulang-ulang yang separuh masak, tiga suku masak dan hanya seperti olok-olok.

Lantaran itu, rakyat terus dikurung dan terpenjara dalam rumah, sementara kilang-kilang yang menyumbang kepada peningkatan angka kes terus bebas menjalankan operasi.

Sudah banyak disebut dan ditekan berulang kali tentang perlunya kerajaan menguatkuasa sekali lagi total lockdown dalam erti kata sebenar untuk suatu tempoh tertentu seperti PKP 1.0 dahulu di mana semua sektor ekonomi dan sosial wajib ditutup sepenuhnya tanpa kompromi.

Hanya cara itu dipercayai boleh melandaikan lekuk wabak ke tahap yang lebih terkawal, sementara dalam waktu yang sama, proses vaksinasi haruslah sentiasa diperingkatkan lagi.

Malangnya, semua itu tidak dilakukan oleh kerajaan, lalu jadilah akhirnya kes Covid19 terus meningkat sehingga melebihi apa yang berlaku kepada beberapa negara lain.

Kerajaan PN dan Mahiaddin boleh dikata gagal dalam semua aspek, gagal mengawal wabak, gagal meningkatkan vaksinasi, gagal meningkatkan ekonomi dan gagal menjaga perut serta poket rakyat.

Berikutan itu, sementara rakyat negara lain sudah boleh menonton bola di stadium dan pergi ke sana sini dengan bebas, kita sebaliknya nak minum teh tarik di kedai mamak pun masih tidak dibenarkan lagi.

Melihat sekeliling dengan pelbagai sektor ekonomi dan kilang-kilang yang membawa kepada peningkatan kes terus diberi kebenaran untuk dibuka, kadang-kadang macam kita diperbodohkan oleh kerajaan kerana penyumbang sebenar kepada peningkatan bebas beroperasi, tetapi yang dimangsakan adalah kita semua yang tidak berdosa.

Lebih daripada itu, berdasarkan PKP tiga fasa, kemudian diikuti pelan pemulihan empat peringkat yang diumumkan Mahiaddin baru-baru ini, semuanya itu bermakna kita akan terus dikurung duduk di rumah tanpa boleh ke mana-mana sehingga ke hujung tahun sambil pendapatan dan makan makin berkurangan.

Untuk balik kampung menjenguk keluarga dan ibu bapa pun tiada kepastian bila boleh dibenarkan.

Cuba tanya Mahiaddin dan menteri-menteri PN yang ada ini, bolehkah mereka turut sama duduk di rumah dengan pendapatan yang dikurangkan seperti pekerja bergaji harian dan peniaga kecil-kecilan yang diketahui amat terjejas pendapatan mereka?

Apa yang pasti, selagi PN jadi kerajaan dan Mahiaddin kekal sebagai Perdana Menteri, kita akan terus diperbodohkan dengan dasar dan langkah yang menjadikan kita tambah bodoh lagi kerana tidak produktif dan banyak masa hanya duduk di rumah saja.

Kita sebenarnya memerlukan sebuah kerajaan dan Perdana Menteri yang berani – berani membenarkan Parlimen bersidang, berani melaksanakan total lockdown dalam erti kata sebenarnya untuk suatu tempoh yang munasabah beserta bantuan kewangan yang sewajarnya untuk rakyat yang disuruh duduk di rumah dan berani berdepan wartawan serta media secara bersemuka.

Pokoknya, sebuah kerajaan dan Perdana Menteri ketika ini mesti berani bertindak luar biasa dan ada keupayaan berfikir secara luar biasa juga memandangkan Covid19 itu sendiri adalah wabak yang luar biasa penularan serta kesannya kepada rakyat dan negara.

Tanpa semua itu atau dalam erti kata lain, selagi kerajaan PN dan Mahiaddin ini tidak dibuang, selagi itulah hidup kita jadi tak ketahuan dan terkurung di rumah tanpa wang, tanpa makanan seolah-olah hanya dibiarkan untuk menunggu mati saja.

Mungkin Mahiaddin tiada perasaan malu untuk berundur atau meletak jawatan, tetapi marilah kita sebagai rakyat terus bersuara, bersatu hati dan memberi tekanan sebagai isyarat bahawa kerajaan ini sebenarnya langsung tak berguna dan tidak diperlukan lagi di negara ini. 

(ShahbudinHusin 18/06/2021)