Guna kontrak EU selamatkan industri minyak sawit, kata pekebun kecil

 

Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia berkata, negara perlu menghantar isyarat kuat bahawa perjanjian masa depan akan terikat kepada eksport minyak sawit.

PETALING JAYA: Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) mahu kerajaan menunjukkan kemampuannya dengan memanfaatkan kontrak pertahanan berbilion dolar bersama negara Kesatuan Eropah (EU) untuk eksport minyak sawit.

Jika tidak, badan yang mewakili 600,000 pekebun kecil minyak sawit itu memberi amaran bahawa Malaysia berisiko melihat industri itu runtuh dalam masa dua tahun.

Presiden PKPKM Aliasak Ambia berkata, negara EU, khasnya Perancis dan Itali, berusaha meluluskan undang-undang yang mungkin menyaksikan berakhirnya kemasukan minyak sawit ke negara itu walaupun mereka meraih keuntungan besar menerusi penjualan peralatan pertahanan kepada Malaysia.

Aliasak menggesa sebuah badan gabungan terdiri daripada kementerian seperti pertahanan, perdagangan antarabangsa dan industri, perusahaan perladangan dan komoditi serta kewangan dibentuk untuk menyelaras perkara itu.

Aliasak Ambia.

“Kita semua tahu berapa banyak yang Perancis dan Itali perolehi daripada kontrak pertahanan antara lain seperti perjanjian kapal selam Scorpene, kapal tempur pesisir dan helikopter,” katanya kepada FMT.

“Malaysia perlu menghantar isyarat kuat bahawa perjanjian masa depan akan terikat kepada keseimbangan yang memihak kepada industri minyak sawit Malaysia dan komoditi lain. Tiba masanya untuk menunjukkan kepada negara ini bahawa mereka tidak boleh menjejaskan periuk nasi kita sambil menikmati manfaat daripada perjanjian dengan kita.”

Katanya, perjanjian itu harus dirunding menggunakan mekanisme perdagangan barter yang akan dibayar sebahagian atau sepenuhnya menggunakan minyak sawit, seperti perjanjian pertahanan Rusia yang sudah menggunakan mekanisme itu.

Aliasak memberi amaran bahawa Malaysia akan tewas apabila EU mula melaksanakan undang-undang anti minyak sawit yang digubal anggotanya menjelang 2024.

“Ini berdosa kerana jika anda mengambil kira keluarga pekebun kecil, ia boleh menjejaskan lebih dua juta orang.”

Pekebun kecil menyumbang hampir 40% daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit di negara ini yang puratanya sebanyak 20 juta tan metrik setiap tahun.

Aliasak berkata, terdapat kempen anti minyak sawit yang sistematik di EU sejak 10 tahun lalu dan semuanya disokong oleh Ahli Parlimen dan perundangan EU.

“Kemuncak kempen ini akan menyaksikan penyingkiran sawit sebagai sebahagian daripada campuran biofuel menjelang Januari 2023. Ia hanya akan membenarkan biofuel menggunakan minyak biji sesawi dan kacang soya yang merupakan produk tempatan mereka.”

Malaysia kini berada pada kedudukan utama dalam perdagangan minyak dan lemak global dengan industri minyak sawit menyumbang lebih RM65 bilion setiap tahun kepada ekonomi negara.

Laporan menunjukkan agenda Perancis adalah kekal sebagai negara pertanian penting dengan membekalkan sebahagian besar minyak biji sesawi di rantau itu yang bersaing secara langsung dengan minyak sawit.

Di Itali, parti Green Italia di Parlimen mula berkempen menentang penggunaan berterusan minyak sawit sebagai sebahagian daripada agenda iklim negara dan rancangan menghentikan penggunaan minyak sawit secara progresif dalam campuran biofuel mereka.

“Dua negara EU ini kini menjadi pesaing utama untuk cadangan pembelian helikopter melalui Airbus Helicopters di Perancis dan melalui AgustaWestland di Itali,” kata Aliasak.

Beliau berkata, Airbus Industries dari Perancis turut mendapat banyak manfaat daripada pembelian pesawat utama oleh Malaysia Airlines, AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

FMT sudah menghubungi menteri industri dan komoditi untuk mendapatkan komen.

No comments: