Kelulusan balak, pembangkang Kedah akan bangkitkan pada Sidang DUN




Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata proses pembalakan mengambil masa yang panjang selepas mendapat kelulusan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang DUN Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata beliau akan mengemukakan soalan mengenai kelulusan pembalakan di negeri itu pada sidang DUN akan datang.

Pengerusi Amanah Kedah itu berkata sebelum ini pihaknya belum sempat menanyakan isu kelulusan pembalakan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru mengambil alih.

“Belum sempat lagi kita nak tanya soalan. Tak ada soalan lagi kita sempat tanya mengenai balak ini.

“Kita tak ada maklumat macam mana balak itu lulus,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, memetik Harakah Daily, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Mat Yakim berkata aktiviti pembalakan yang berlaku di negeri Kedah sekarang adalah daripada kelulusan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, sejak mengambil alih pentadbiran bermula 17 Mei tahun lalu, tidak ada satu pun kelulusan kawasan membalak yang baharu dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan oleh pengguna media sosial mengenai kesahihan kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Sanusi belum pernah memberikan kelulusan pembalakan di mana-mana kawasan di negeri ini.

Ini berikutan tularnya foto papan tanda operasi balak memaparkan tarikh lesen 1 Jun 2020 di suatu kawasan di Sik, baru-baru ini

Dalam pada itu, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata kelulusan pembalakan masa ini boleh jadi sebelum PN, semasa Pakatan Harapan (PH) malah juga sebelum PH.

Katanya, proses pembalakan sebenarnya mengambil masa yang panjang selepas mendapat kelulusan.

“Memang proses balak di Kedah ini ada kuota, berapa ribu hektar yang boleh ditebang, setiap tahun ikut kuota yang ditetapkan oleh Majlis Perhutanan Negara di peringkat nasional.

“Dibenarkan ada kuota. Kerajaan negeri boleh bagi konsesi balak tidak melebihi kuota yang dibenarkan.

“Sesuatu lesen balak (diperoleh) akan melalui satu proses yang panjang mungkin lebih setahun sebelum boleh tebang,” katanya.

No comments: