KALI INI SELAMAT LA....



Mahkamah benarkan permohonan Hadi Awang batalkan saman berhubung kenyataan menghasut



Bernama
Mahkamah benarkan permohonan Hadi Awang batalkan saman berhubung kenyataan menghasut
HAKIM: "Ini adalah kes remeh yang boleh membebankan sistem keadilan dengan proses litigasi yang tidak perlu." - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berjaya membatalkan saman pemula yang difailkan dua rakyat Sabah berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghasut penganut Kristian dan disiarkan akhbar Harakah, lima tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir dalam penghakimannya membenarkan permohonan Hadi untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua dan berkata saman itu tidak mempunyai locus standi, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah.
“Ketika saya meneliti keseluruhan saman itu, sebenarnya jika ada pihak yang hendak dipersalahkan kerana kecenderungan menghasut adalah plaintif sendiri. Mereka (plaintif) telah membangkitkan semula perkara yang berlaku pada 2016 dan menjadikan ia sebagai isu baru.
“Oleh demkian, saya membenarkan permohonan defendan (Hadi) untuk membatalkan saman pemula itu kerana ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah,” kata hakim.
Hakim juga memerintahkan setiap plaintif membayar kos tindakan RM50,000 kepada defendan.
Menjelaskan mengenai kos tersebut, Akhtar berkata sebagaimana beliau nyatakan, ini bukannya kes litigasi kepentingan awam, maka pihak terlibat tidak dapat menafikan perkara itu.
“Ini adalah kes remeh yang boleh membebankan sistem keadilan dengan proses litigasi yang tidak perlu.
“(Ungkapan) ‘see you in court’ (jumpa anda di mahkamah) kini menjadi ikutan (fesyen). Kita tidak boleh membiarkannya membawa kepada tindakan remeh, maka dengan itu saya akan mengenakan kos sebanyak RM50,000 terhadap setiap plaintif yang akan dibayar kepada defendan,” kata hakim.
Menjelas lanjut, Akhtar berkata dalam kes ini, salinan artikel Harakah juga tidak dikemukakan di mahkamah.
“Mahkamah dipandu kepada artikel dalam penerbitan lain yang ditulis semula dan didapati penuh bahaya kerana kita tidak tahu mengenai kandungan asal yang diperkatakan dalam artikel sebenar.
“Penghasilan semula artikel dalam bahasa Inggeris ini tidak jelas untuk menunjukkan bahawa artikel asal dalam akhbar Harakah sama ada ia ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain,” kata hakim.


No comments: