Dakwaan Tommy Thomas, Hamid Bador: Presiden UMNO gesa kerajaan tubuhkan RCI segera

 

Fareez Azman
Dakwaan Tommy Thomas, Hamid Bador: Presiden UMNO gesa kerajaan tubuhkan RCI segera
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendedahan Bekas Peguam Negara dan Bekas Ketua Polis Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Perkara itu dimaklumkannya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat. Jelas Ahmad Zahid, beliau bersetuju dengan ketetapan Pergerakan Pemuda UMNO berhubung pendedahan kedua-dua bekas ketua yang pernah mengetuai dua organisasi penting kerajaan itu, adalah amat serius.
"Pendedahan kedua-dua bekas ketua yang pernah mengetuai dua organisasi penting kerajaan adalah amat serius terutamanya melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi-institusi yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara
"Saya akan meminta menteri-menteri yang mewakili UMNO untuk membawa saranan ini kepada kerajaan agar tindakan segera dapat dilakukan," katanya.
Ujar Ahmad Zahid, penubuhan RCI itu harus disegerakan untuk memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi dan sistem yang membentengi kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.
Sebelum ini Abdul Hamid mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dakwanya, ia membabitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Abdul Hamid turut menjelaskan bahawa beliau bersedia untuk dirakam keterangan berhubung pendedahan yang dilakukannya itu.
Dalam pendedahan Tommy pula menerusi bukunya My Story: Justice in the Wilderness mendakwa terdapat campur tangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam badan pengadilan dan kehakiman negara.
Tommy juga dalam penulisannya dilihat memperlekeh dan mendakwa pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji dan tidak mempunyai komitmen, kompentensi serta semangat melaksanakan tanggungjawab mereka.

No comments: