Doktor bidas larangan bersukan, rekreasi di kawasan PKP

 

Pakar perubatan berkata, aktiviti sukan dan rekreasi di luar rumah perlu digalakkan.

PETALING JAYA: Doktor membidas langkah kerajaan melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) buat sementara mulai esok.

Dr Steven Chow, presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), berkata keputusan itu “tidak masuk akal”, manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula langkah berkenaan.

Chow meminta kerajaan membuktikan bersukan dengan mematuhi SOP Covid-19 di kawasan terbuka merupakan punca penularan Covid-19.

“Tidak rasional untuk menggunakan pendekatan ‘duduk di rumah’ secara membuta tuli pada tahap ini. Ini memudaratkan kesihatan fizikal dan mental rakyat. Aktiviti berasaskan keluarga di luar rumah perlu digalakkan,” katanya kepada FMT.

Yii berkata, aktiviti kecergasan dan sukan tanpa sentuhan dapat meningkatkan sistem imum dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, jika dilakukan dengan mematuhi SOP.

Katanya, Putrajaya sepatutnya membuat keputusan berdasarkan sains dan data.






Dr Steven Chow

“Sains jelas menunjukkan risiko jangkitan lebih rendah di kawasan terbuka dan bersukan baik untuk gaya hidup sihat secara menyeluruh.

“Ironinya orang ramai dibenarkan berjalan di pusat beli-belah, malah di bazar Ramadan Kuala Lumpur, tetapi mereka tidak dibenarkan berjalan di taman terbuka.”

 

Beliau menekankan sukan dan bersenam perlu dilakukan dengan pematuhan terhadap nasihat kesihatan awam, contohnya mengelakkan tempat sesak dan melakukannya secara individu atau dalam kumpulan kecil.

“Amalkan kebersihan peribadi sebelum dan selepas bersenam serta cuba elak menyentuh peralatan bersukan di taman rekreasi awam.

“Apabila berlari atau joging, sentiasa pastikan anda tidak lari terlalu rapat dengan orang lain. Juga, balik rumah terus selepas itu dan mandi,” nasihatnya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan semua aktiviti sukan dan rekreasi di dalam premis atau kemudahan komersial, awam dan kawasan terbuka di bawah PKP digantung mulai esok.


Dr Adeeba Kamarulzaman.


Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Tetapi, Kementerian Belia dan Sukan berkata, operasi di kemudahan atau premis sukan dan rekreasi yang terhad kepada urusan pengurusan dan penyelenggaraan dibenarkan, selain program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep “Camp Based Training”.

Sementara itu, pakar penyakit berjangkit, Dr Adeeba Kamarulzaman turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan itu kerana risiko dijangkiti Covid-19 di luar bangunan kira-kira 18 kali ganda lebih rendah daripada di dalam bangunan.

“Tolong biarkan rakyat terus berjoging, berbasikal atau melakukan mana-mana sukan di luar demi kesihatan fizikal serta mental kita,” katanya yang baru-baru ini dilantik menganggotai Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).