Rakaman Audio tular Zahid-Anwar tak gadai semangat reformasi, kata Ezam

 


Rakaman Audio tular Zahid-Anwar tak gadai semangat reformasi, kata Ezam


Rakaman audio didakwa melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno bukanlah satu isu yang boleh merosakkan semangat reformasi.

Bekas senator Ezam Mohd Nor yang kini memimpin gerakan longgar yang dijuluki nama Gerak 98 berkata demikian ketika mengulas dakwaan perbualan antara Zahid dan Anwar.

“Bagi kita Gerak 98, ia sedikit pun tidak menggadai reformasi.

“Kalau betul apa yang Zahid sebut tidak sedikit pun merosakkan reformasi.

“Dia (Zahid) memperakui Anwar sebagai cikgu dia, dia belajar dari Anwar […]

“Apa yang disebut oleh Anwar juga pada saya tidak menggadai kekuatan reformasi,” kata Ezam di Kuala Lumpur selepas acara flashmob oleh NGO Gerak 98 dan Otai Reformis.

Ezam meninggalkan Umno ketika menjadi pemimpin pemuda. Bekas ketua pemuda PKR itu kemudian meninggalkan parti itu pada 2008 untuk menyertai kembali Umno.

Bagaimanapun, Ezam keluar dari Umno buat kali kedua pada 2016, selepas dua tahun menjadi pengarah komunikasi kementerian kewangan di bawah pentabiran Najib Razak.

Mengulas keputusan PH menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri gabungan itu pada PRU15, Ezam berkata ia merupakan usaha positif yang perlu dihormati semua pihak.

“Sebab apa yang berlaku sebelum ini, PH sebut Anwar sebagai ketua tetapi pada masa yang sama masih dengar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, masih beri ruang untuk Mahathir serang Anwar,” jelasnya.

 

Sementara itu, Speaker Dewan Negara Rais Yatim menyifatkan amat sukar untuk Anwar dan Zahid meyakinkan orang ramai tentang kepalsuan rakaman audio terbabit.

“Sukar untuk meyakinkan dengan begitu sahaja. Lantaran suara kedua-dua pemimpin ini dikenal ramai.

“Lunaknya, intonasinya, pekikannya, itu didengar oleh masyarakat.

“Jadi kalau menafi, penafian itu harus substantif. Dan sifat substantif itulah yang saya katakan tadi, harus dibuktikan melalui forensik.

“Saya berharap ada tindakan daripada pihak berkuasa dan yang mahir dari segi audio,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur.

Rais turut menambah, kegagalan untuk menyelesaikan isu itu turut akan memberi kesan buruk kepada kerajaan, sejurus keadaan politik Melayu dalam negara.

Zahid telah menafikan sekeras-kerasnya suaranya dalam audio itu dan berkata akan melakukan laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

 

Anwar pada hari ini pula mempersoalkan adakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman audio didakwa melibatkannya dengan Zahid adalah tulen.

Dalam perbualan kira-kira empat minit itu, suara yang didakwa sebagai Zahid dan Anwar kedengaran berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan lalu yang memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu, serta memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan masa menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, suara yang didakwa Zahid berkata apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal. Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan tiadanya kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Suara didakwa Anwar pula berkata lebih baik jika menteri daripada Umno, walaupun seorang, yang menggunakan PAU sebagai sebab untuk meletakkan jawatan, untuk membina momentum.