Rakaman audio: Kenapa siasat kalau tiada unsur jenayah, soal peguam


Sankara N Nair mempersoalkan Abdul Hamid Bador, bagaimana perbualan telefon biasa boleh diklasifikasikan sebagai jenayah.

PETALING JAYA: Rakaman audio tular yang didakwa suara Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bukan “kesalahan yang boleh ditangkap” dan justeru, polis tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat, kata seorang peguam.

Sankara N Nair, mempersoalkan keputusan siapa untuk mengarahkan siasatan, kerana beliau mendakwa tiada asas perundangan untuk berbuat demikian.

“Ada satu, dan hanya satu, peruntukan bawah Seksyen 110 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), yang memberi kuasa kepada KPN untuk menggunakan kuasanya memulakan siasatan jenayah.

“Dan ini berlaku selepas polis menerima laporan yang mendedahkan kesalahan yang boleh ditangkap,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Abdul Hamid Bador berkata siasatan dibuka ke atas rakaman audio yang didakwa melibatkan kedua-dua pemimpin politik itu.

Nair berkata, untuk lebih mudah, kesalahan yang boleh ditangkap umumnya merupakan kesalahan serius di mana tiada syarat untuk memiliki waran untuk membuat penangkapan, sambil menambah kes kecurian dan rompakan adalah antara contohnya.

Hanya dalam situasi di mana sesuatu kesalahan yang boleh ditangkap itu, katanya, polis diarahkan untuk menggunakan kuasa mereka mengambil keterangan saksi yang berkaitan.

“Dalam kes ini, bagaimana perbualan telefon biasa yang kononnya betul, disahkan atau tidak, tanpa kaitan dengan jenayah, termasuk dalam makna dan klasifikasi kesalahan yang boleh ditangkap?”

Nair menyeru supaya KPN menjelaskan bagaimana beliau diberi kuasa untuk memanggil Anwar dan Zahid memberi keterangan, kerana memanggil mereka boleh bercanggah dengan KPJ dan Kanun Keseksaan.

Anwar dan Zahid sebelum ini menafikan rakaman audio yang membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU2020) bulan lalu, terutama mengenai “No Anwar, No PPBM, No DAP” dalam membentuk pakatan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.


No comments: