KALAU DENGAN PAS YANG MENGKAFIRKANNYA PUN UMNO BOLEH BEKERJASAMA, APA SANGATLAH DENGAN PH?

 

Meski rakaman audio bocor yang didakwa melibatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi masih lagi merupakan misteri dari segi kesahihannya, di sisi lain sebenarnya ramai yang berharap hubungan baik yang dizahirkan melalui perbualan mereka berdua itu akan nenjadi kenyataan dalam politik untuk negara.

Dalam erti kata lain, kebocoran audio itu telah melonjakkan harapan agar UMNO dan PKR akhirnya dapat membentuk suatu kerjasama.

Kerjasama yang diharapkan itu tidak saja melibatkan UMNO dan PKR, tetapi juga merangkumi antara BN dan PH.

Dengan kekuatan yang masing-masing miliki, kerjasama itu jika menjadi kenyataan, itulah sebetulnya yang terbaik untuk negara.

Tetapi, bolehkah ia menjadi kenyataan?

Jika diperhati, UMNO dengan PH yang di dalamnya ada PKR, DAP dan Amanah hanya bermusuh dari segi politik semata-mata dan ia tidak lebih daripada itu.

Yang kerap berlaku hanyalah berbalas cakap dan kenyataan berkaitan pelbagai isu yang kedua-dua pihak berbeza pendirian masing-masing.

Kewujudan slogan “No Anwar No DAP” yang sering diratibkan oleh pemimpin tertentu dalam UMNO sejak akhir-akhir ini bukanlah gambaran wujudnya permusuhan yang terlalu teruk antara parti itu dengan PH.

Ia tidak lebih adalah manifestasi ketakutan golongan tertentu dalam UMNO terhadap kehilangan jawatan dan kedudukan sejak terbentuknya kerajaan PN, selain untuk melindungi Bersatu serta Mahiaddin Md Yasin yang pada hakikatnya sedang sesak nafas dalam melayati kehidupan berpolitik seterusnya.


Di pihak PKR dan DAP, mereka tidak pula pernah ada slogan “No UMNO No Zahid Hamidi” misalnya sehingga ia menjadi ketetapan parti sebagaimana dilakukan oleh UMNO.

Tetapi, terbukti akhirnya Bersatu dan Mahiaddin lebih merupakan ancaman yang ingin “membunuh” UMNO berbanding Anwar, PKR dan DAP yang dianggap musuh yang tidak boleh dijalin kerjasama itu.

Dengan perkembangan politik semasa yang banyak berubah dan norma baru menjadi aturan kehidupan sekarang ini, sudah sampai masanya UMNO perlu membatalkan ketetapan

“No Anwar No DAP” itu.

Ketetapan itu sebenarnya mengongkong UMNO untuk kembali berkuasa serta dalam masa sama memberi kelebihan kepada Bersatu, PN dan Mahiaddin mencatur kekuatan kuasa dalam milikannya.

Ini kerana, sementara UMNO yang terperangkap dengan ketetapan “No Anwar No DAP” bersama dengan Bersatu membentuk kerajaan PN, namun untuk mengukuhkan partinya, tidak kira wakil rakyat PKR, DAP atau sesiapa saja yang sedia menjual diri, semuanya diborong oleh Bersatu.

Sudahnya, Bersatu kini jadi parti rojak yang tidak saja berkumpul di dalamnya segala pengkhianat, malah macam-macam jenis manusia tak kira daripada mana asal usulnya ada bersama.

Lagi pula, UMNO harus sedar, kedudukannya BN yang diterajuinya semakin mengecil sekarang di mana hanya tinggal empat parti saja lagi di dalamnya.

Itu pun MIC, salah satu komponennya sudah mula ternampak geli-geli mendekati PN dan Mahiaddin kebelakangan ini.

Mendepani cabaran mendatang, UMNO tiada pilihan lain selain perlu bekerjasama dengan PH, khususnya PKR dan DAP untuk kelangsungan masa depannya.

Kalau dengan Pas yang pernah mengkafirkannya pun UMNO boleh berbaik, bermesra dan kini merinduinya apabila parti Islam itu mula liar sejak main dua kolam dengan Bersatu, apakah PH, PKR dan DAP pernah berlaku buruk mengganggu atau mengancam akidah ahli-ahli UMNO?

Dalam hidup orang Islam, tidakkah akidah merupakan tunjang kehidupan paling asas bagi kita semua?

Maka, kalau dengan Pas yang pada dasarnya sudah begitu jauh terlajak dalam berpolitik sehingga ke peringkat mengkafirkan yang bermakna telah menceroboh tunjang paling asas bagi orang UMNO sebagai sesama unat Islam, itu pun masih boleh diterima sebagai rakan kerjasama, mengapa tidak dengan PH, PKR, DAP dan Anwar?

Apa yang PH, PKR, DAP dan Anwar pernah mengancam dan membahayakan UMNO selama ini?

Pernahkah DAP mengkafirkan UMNO atau cuba mahu mencinakan orang Melayu UMNO?

Lebih daripada itu, selain tidak bertembung kerusi pilihanraya dengan DAP dan dengan PKR pula hanya berlaga di kawasan tertentu yang pada asasnya boleh dirundingi secara baik, pilihan UMNO sebagai parti Melayu untuk bekerjasama dengan PH juga menggambarkan mereka benar-benar berjiwa Malaysia.

Ia akhirnya akan melahirkan kestabilan sejati untuk kepentingan rakyat dan negara seluruhnya. (Shahbudindotcom 10/04/2021)