PN semakin goyah, takut ke Parlimen luluskan peruntukan - Abdullah Sani

 



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang goyah ada tanda-tanda akan runtuh sekiranya darurat ditarik balik

Menurut Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, ramalan kejatuhan kerajaan PN bukanlah rekaan sebaliknya boleh menjadi realiti dan hal itu amat ditakuti oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin

Buktinya, kata beliau, kerajaan PN mengeluarkan dikri bahawa peruntukan atau belanjawan tambahan boleh diluluskan tanpa melalui Parlimen.

Sekiranya melalui Parlimen, jelas Abdullah, terdapat kemungkinan Ahli Parlimen yang tidak menyokong akan lebih banyak daripada yang bersetuju dan kerajaan PN akan dimalukan.

"Dua perkara jelas PN perlu dibuktikan. Dia kena ada majoriti dibuktikan (Undi Percaya) di Parlimen. Perlu panggil Parlimen bersidang. Sedangkan tempat lain (sektor ekonomi) dibuka, jadi di situ terletaknya ketidak stabilan kerajaan ini

"Peruntukan pula dikeluarkan sendiri (tanpa melalui Parlimen), jadi masalah ini terlalu kritikal untuk negara," katanya.

Abdullah turut bersetuju dengan langkah yang diambil Umno dalam perhimpunan agungnya dua minggu lalu untuk meninggalkan kerajaan PN kerana kelemahan PN akan merosakkan masa hadapan Umno.

Katanya, Umno tidak akan rugi apa-apa sekiranya berundur dari kerajaan. Manakala kerajaan PM Muhyiddin Yassin sebenarnya tidak boleh mentadbir selagi belum membuktikan keabsahannya.

"Itulah yang diramalkan dan telah diramalkan (pengunduran Umno)

"Ketiadaan pembuktian majoriti menjadikan kerajaan ini tidak stabil. Kalau awak tak ada nombor (cukup bilang Ahli Parlimen) maka awak tak boleh mentadbir. Dalam kata lain awak tak ada lokus standi dan melanggar Perlembagaan," katanya lagi.

Dua minggu lalu, dalam Perhimpunan Agung Umno, parti itu memutuskan untuk menarik diri dari kerajaan PN. Bagaimanapun Umno memberi kuasa kepada presidennya bagi menentukan tarikh yang sesuai berundur.

Spekulasi mendakwa berkemungkinan Umno akan menarik diri sepenuhnya pada Ogos depan apabila darurat tamat. Seandainya perkara itu berlaku Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atau melantik PM interim jika suasana pandemik Covid 19 masih tidak membenarkan pilihan raya umum diadakan.