Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tidak bertanggungjawabnya
telah mempropagandakan kepada rakyat bahawa tiada ugutan dilakukan terhadap
Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berkhianat baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul
Iskandar Mohd Akin membawakan testimoni mudah ciri-ciri awal ugutan yang
dilakukan oleh pemerintah sehingga berlaku insiden melompat parti.
Katanya, mulai 1 Januari 2021 Ahli Parlimen pembangkang dinafikan
sebarang peruntukan kawasan. Hal itu menurut Shamsul adalah satu bentuk ugutan
yang nyata kerana sebagai ahli politik yang menjadi tempat bergantung rakyat,
mereka sangat tertekan mencari dana bagi membantu pengundi di kawasan
masing-masing.
"Dalam hal ini kita nyatakan dengan jujur ada rekayasa
politik untuk mengugut dan memberikan umpan. Contoh yang paling mudah,
peruntukan RM100,000 (bagi setiap kawasan Parlimen).
"Oklah kerajaan Pakatan Harapan silap kerana tak buat dasar
sama (beri peruntukan sama banyak kepada pembangkang). Tetapi sekarang kerajaan
baru perlu buat dasar baru yang boleh menarik sokongan kepada Muhyiddin (secara
semulajadi).
"(Biarkan) mereka (Ahli Parlimen) dapat RM100,000 termasuk
presiden Umno, itu apa (henti peruntukan) kalau bukan ugutan?
"Sepatutnya semua Ahli Parlimen yang dipilih tidak ada isu
mengenai peruntukan," katanya dalam forum anjuran stesen penyiar Astro,
"Dialog Konsensus Nasional", malam tadi.
Mengenai soalan sama ada wujud atau tidak rundingan di antara
KEADILAN dan Umno, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta media berhati-hati
menggunakan istilah rundingan kerana rakyat menganggap telah berlaku sesuatu
yang serius dan akan disudahi dengan ketetapan kerjasama.
Sedangkan, kata Shamsul, perbincangan yang dibuat masih di
peringkat awal dan tidak menatijahkan sebarang keputusan.
"Ini istilah bahasa. Kadang kala rundingan itu dianggap
sesuatu yang serius. Tetapi kalau kita bincang ada dialog, diskusi (lebih
ringan) jadi istilah itu harus cermat kita guna.
"Jadi dalam konteks ini Datuk Seri Anwar sebut beberapa kali
kepada wartawan, apa salahnya kita berbincang dengan tema-tema yang jelas.
Misalnya tatakelola, bidang kehakiman, ekonomi dan hal-hal berkaitan masa
hadapan Malaysia. Dalam keadaan sekarang kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil.
"Dalam kerangka ini kita meneroka keadaan yang ada,
berbincang dengan beberapa pimpinan Umno.