BERDEPAN TIGA CABARAN, ZAHID HAMIDI PERLU SEGERA MENUKAR DIRINYA JADI PENDEKAR YANG BERANI

 


Sekurang-kurangnya ada tiga cabaran besar di depan Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung parti itu pada 27 Mac ini.

Pertama, melawan adanya cubaan yang dikatakan didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri untuk mengubah keputusan MT UMNO yang telah bersetuju untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Keputusan MT yang berdasarkan usul majoriti UMNO bahagian-bahagian itu telah dimaklumkan secara bertulis oleh Ahmad Zahid kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Kedua, menangani tindakan curang dua Ahli MT UMNO yang dipercayai kerap membocorkan rahsia dan maklumat mengenai mesyuarat parti kepada pihak luar.

Ahli MT berkenaan, seorang lelaki dan seorang wanita sudah pun dikenalpasti hasil siasatan yang dijalankan oleh UMNO sendiri.

Ketiga, setelah sebelum ini Annuar Musa kerapkali melakukan serangan kepada Ahmad Zahid secara terbuka sebagai menunjukkan sikapnya yang pro Bersatu, cabaran baru kini muncul melalui seorang lagi pemimpin UMNO iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Shahidan Kassim.

Shahidan yang juga Ahli MT UMNO dalam tindakan terbarunya, telah mengugut bahawa UMNO Perlis akan bergerak sendiri dan tetap menjalin kerjasama dengan Bersatu, sekali pun jika UMNO Pusat kekal dengan ketetapan putus hubungan dengan parti tersebut.

“Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buanglah,” tegasnya.

Ketiga-tiga cabaran itu adalah ujian besar buat Ahmad Zahid, bukan saja kepada wibawanya selaku Presiden, tetapi juga kepada UMNO yang sedang dipimpinnya.

Selain ketiga-tiga perkara tersebut difahami bertujuan memalukan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung akan datang ini serta untuk menghancurkan UMNO, ia juga amat jelas untuk memastikan Bersatu dan Muhyiddin terus kekal menguasai percaturan kuasa dalam politik negara melalui PN yang diketuainya.

Dengan yang demikian, mereka yang terkait dengan ketiga-tiga perkara itu tidak lagi mempunyai rasa sayang kepada UMNO dan pemimpinnnya, sebaliknya kecintaan mereka lebih kepada pihak luar yang akhirnya akan memusnahkan masa depan UMNO sendiri.

Cuba mengubah keputusan MT yang diputuskan berdasarkan usul majoriti bahagian-bahagian bukan saja tidak menghormati kehendak akar umbi UMNO, malah ia bermakna mahu membunuh masa depan parti.

Dengan mengubah keputusan MT itu dan menjadikan Muhyiddin, Azmin Ali serta Hamzah Zainuddin kekal berkuasa lagi, Bersatu hampir pasti akan menjadi pengganti kepada UMNO akhirnya.

Perbuatan curang membocorkan rahsia dan maklumat mesyuarat MT kepada pihak luar, selain tujuannya adalah sama untuk menghancurkan UMNO, perlakuan ini adalah kecurangan yang tidak boleh diterima dan dibiarkan berterusan lagi.

Eleman gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan api dalam sekam dalam apa perkara sekali pun adalah suatu pengkhianatan, bahkan dalam peperangan hukuman yang biasa kepada pelakunya adalah ‘tembak sampai mati’ atau ‘pancung kepala’.

Yang paling buruk sekali ialah adanya pemimpin UMNO sendiri yang terang-terang mula berani mencabar parti dan institusi kepimpinan demi kepentingan pihak lain.

Terutama perlakuan Shahidan yang mencabar parti dan ingin putus hubungan, sedangkan jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Perlis pun lantikan, ini adalah suatu kebiadapan yang mesti diambil tindakan.

Sekarang ini yang ternampak menonjol melakukannya hanyalah Annuar dan Shahidan, tetapi jika dibiarkan dan tidak segera dibendung, pastinya kerana faktor diberikan dedak, jawatan atau habuan, tidak mustahil lebih ramai yang berani tampil menentang keputusan yang telah disepakati oleh parti.

Akhirnya, parti akan jadi huru-hara dan musnah begitu saja.

Maka dengan itu, Ahmad Zahid harus segera bertindak berani dan tegas dalam mendepani semua perkara tersebut.

Biar pun Ahmad Zahid diperhatikan sinonim dengan watak lemah lembut, berhemah, berhati-hati dan suka mengalah, sesuai dengan ciri-ciri darah Jawa yang mengalir dalam tubuhnya, namun sebelum lebih banyak cacing naik ke kepala, beliau mesti mengumpul segala kekuatannya untuk bertindak tegas menangani ketiga-tiga cabaran itu.

Ahmad Zahid wajib menzahirkan watak pendekar dan menukar dirinya menjadi pahlawan yang sebenar, walau sering dikata orang pendekar Jawa lazimnya suka meletakkan keris di pinggang belakang.

Kalau perlu gantung, pecat atau apa saja, jangan takut melakukannya kerana semua tindakan itu tidak lain adalah untuk kepentingan dan masa depan UMNO serta bagi mengelakkan parti dikuburkan oleh pihak lain.

Yakinlah, akar umbi UMNO akan bersama beliau kerana mereka pasti mahu UMNO kembali berkuasa semula selepas PRU15 akan datang, manakala yang beria-ia mahu memberi nyawa kepada Bersatu hanyalah segelintir kecil pengkhianat yang memikirkan laba jangka pendek saja.


 (Shahbudindotcom 20/03/2021)






No comments: