PPBM nafi terima komisen RM500 juta Goldman Sachs

 


Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan menafikan parti itu menerima komisen untuk membantu kerajaan dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs.

PETALING JAYA: PPBM menolak tuduhan konon parti itu menerima komisen RM500 juta untuk membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan yang tular di media sosial itu adalah fitnah untuk memburukkan parti berkenaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Terkini timbul tohmahan mengaitkan PPBM melantik ejen untuk ambil komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1MDB. Ada juga tuduhan bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sachs.

“Saya adalah ahli Biro Politik PPBM dan juga ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan PPBM. Saya tahu semua ini tidak berlaku. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada ejen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam PPBM,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful berkata, parti itu tidak terlibat dengan perbuatan kotor kerana sudah menjadi asas PPBM ditubuhkan antaranya memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.

“Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera, semua yang bersalah menerima keadilan dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan bersabit tuduhan itu dibuat wakil rakyat Pejuang dan DAP sama ada wujud strategi gelap secara bersama antara dua parti itu.

Terdahulu, pejabat seorang ADUN Selangor membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi bagi membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

ADUN Kuang Sallehudin Amiruddin berkata, ia tular di media sosial minggu lalu mendakwa wang berkenaan akan digunakan untuk pilihan raya umum ke-15, dan beliau mahu pihak berkuasa menyiasat kesahihannya sama ada wang itu sudah dibayar.

Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, Goldman Sachs akan membayar wang tunai USD2.5 bilion dan memberi jaminan pemulangan sekurang-kurangnya USD1.4 bilion yang dirampas kerajaan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Pembangkang sebelum ini mengkritik jumlah penyelesaian itu, dengan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah menuntut USD7.5 bilion daripada Goldman Sachs.



No comments: