PN KERAJAAN YANG HANYA TAHU BERPOLITIK, BUKAN KERAJAAN MENJAGA RAKYAT

 

Dikatakan tujuan perlaksanaan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No 2) adalah bagi mengekang berita palsu berkenaan Covid19 dan proklamasi darurat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan hanya mahu fokus kepada dua perkara tersebut saja.

“Hasrat kami hanyalah untuk mengawal penyebaran berita palsu berhubung dua perkara secara khusus iaitu Covid-19 dan proklamasi darurat,” tegasnya.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Penguatkuasaan ordinan ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana ia memberi kuasa yang sangat luas kepada kerajaan untuk bertindak terhadap berita-berita yang disifatkah tidak dibenar.

Di samping dilihat sebagai cubaan untuk mengawal naratif di media dan mengekang kritikan rakyat, kegusaran turut menginjak kepada kemungkinan ia lebih bersifat politik.

Ia berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hasan yang berkata, membuat dakwaan bahawa proklamasi darurat dikuatkuasakan kerana kerajaan hilang majoriti adalah termasuk dalam berita palsu.

“Ia satu kesalahan, bagi saya ia satu kesalahan,” katanya.

Secara tidak langsung, tidakkah penegasan Takiyuddin ini seperti mengesahkan ordinan berkaitan berita palsu ini lebih bersifat politik tujuannya?

Kenapa kerajaan mesti takut dengan dakwaan tiada majoriti dan mahu mengekang rakyat daripada bercakap atau bertanya mengenainya?

Mengapa tidak dijawab segala tanggalan tersebut, malah kalau ia dikatakan tidak benar, bukankah dengan membenarkan Parlimen bersidang adalah jawapan terbaiknya?

Lagi pun, Yang Dipertuan Agong sendiri telah mengeluarkan titah bahawa Parlimen boleh diadakan ketika darurat yang dengan sendirinya bermakna baginda seperti beranggapan isu-isu rakyat seperti kedudukan majoriti kerajaan boleh diselesaikan dengan membenarkan Dewan Rakyat bersidang?

Kenapa dalam hal ini, kerajaan enggan patuh kepada titah Agong, sebaliknya mengeluarkan hujah kelakar dengan menyanggah kononnya Parlimen tidak boleh dibenarkan bersidang kerana ramai Ahli Parlimen adalah warga emas?

Bersama perkara-perkara lain seperti penetapan denda sehingga RM10 ribu bagi kesalahan melanggar SOP PKP, keengganan kerajaan memenuhi tuntutan moratorium pinjaman bank dan meletakkan pelbagai syarat untuk pengeluaran i-sinar KWSP, kerajaan hari ini dilihat benar-benar tidak lagi mengutamakan keperluan hidup rakyat.

Sementara permintaan mereka untuk meneruskan kehidupan ketika Covid19 disusahkan dengan pelbagai halangan, kebebasan bersuara pula seolah-olah cuba disekat secara paksa.

Dengan itu, ternampak perlaksanaan darurat ini lebih bersifat politik dan untuk kepentingan Muhyiddin Yassin serta PN mengekalkan kuasa semata-mata.

Biar berbuih sekali pun mulut mereka menafikan semua itu, di mata rakyat itulah yang mereka nampak dan fahami.

Lebih buruk, di ketika darurat dan seruan mereka sendiri agar jangan berpoilitik, PN sendirilah yang paling teruk berpolitik dengan paling kerap mengadakan mesyuarat parti, membawa Gerakan menyertai PN serta menarik beberapa Ahli Parlimen untuk melompat katak menyokong Muhyiddin.

Rakyat terus dibelakangkan dan ditekan kerana keutamaan PN dengan himpunan pengkhianat di dalam kerajaan PN ini lebih bertujuan berpolitik untuk kuasa semata-mata.

Sebagaimana mereka berkuasa dahulu melalui pintu belakang, untuk mempertahankannya pun, yang mereka tahu, hanya melalui sokongan Ahli Parlimen secara pintu belakang juga.

Untuk itu, rakyat yang memilih kerajaan setiap lima tahun melalui undi pintu depan, mesti bersatu menolak gerombolan pengkhianat pintu belakang yang paling durjana ini.

Membiarkan mereka ini berkuasa lagi ibarat kita menempah neraka untuk kehidupan sendiri. 


(Shahbudindotcom 14/03/2021)



No comments: