Daripada beli MP elok muafakat bersama pembangkang
Pemerintah sewajarnya menunjukkan kewibawaan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya menambah masalah ke dalam kancah politik nasional.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, sesebuah kerajaan tidak akan bertahan lama sekiranya mengamalkan cara ugutan dan tawaran untuk mendapatkan sokongan.
Sebaliknya menurut beliau, pemerintah harus mencari kesepakatan antara pemerintah dan pembangkang dalam menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi yang melanda negara.
“Pemerintah Perikatan Nasional berusaha untuk memanjangkan kejatuhannya yang tidak dapat dielakkan dengan memecah belah lawan atau pesaingnya.
“(Bagi saya) menggunakan intimidasi atau godaan untuk mendapatkan kelebihan tiga atau empat Ahli Parlimen bukanlah cara yang betul untuk mendapatkan kuasa. Sebaliknya, ini menimbulkan lebih banyak ketidakpastian dan gangguan terhadap politik nasional yang sudah bergolak.
“Sekiranya kerajaan sekarang mahukan keamanan dan kestabilan demi kepentingan awam, Perdana Menteri harus memanggil semua pihak mengadakan rundingan inklusif.
“Negara ini menghadapi krisis sosial dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya. Semua kekuatan politik tanpa mengira fahaman ideologi mempunyai tanggungjawab bersama, dan setiap orang mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan semula negara. PN tidak boleh memerintah sendirian dengan kumpulan kecil sambil menolak suara perwakilan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Tian menyeru agar rakyat bersatu menolak politik adu-domba yang menggugat kestabilan negara.
“Kestabilan politik hanya dapat dicapai melalui perpaduan nasional. Pada masa ini kuasa mutlak dipegang oleh sekumpulan pemecah belah tanpa mandat.
“Kita harus bersatu untuk menolak politik perpecahan,” katanya lagi.
Tian Chua turut mengungkapkan rasa sedih dengan keputusan Dr Xavier setelah 22 tahun mengharungi perjuangan reformasi. Tian merupakan Naib Presiden KEADILAN yang menang pemilihan parti pada 2018. Selain beliau, Naib Presiden dilantik adalah Chang Lih Kang, Rafizi Ramli dan Dr Michael Teo.