PKP WAJAR DITUKAR JADI PKPP – RAKYAT PERLU CARI WANG UNTUK HIDUP, BUKAN NAK CARI KOS POTONG USUS BAGI KURUS


 Ketika ini hampir semua sektor ekonomi telah dibuka, walaupun PKP dan darurat masih berkuatkuasa.

Dalam pengumuman semalam, lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi temasuk kedai pakaian, aksesori, kedai peralatan sukan, kosmetik serta lain-lainnya dan paling menggembirakan tentunya kebenaran boleh makan di restoran.

Dengan itu, kehidupan rakyat kini boleh dikata sudah kembali seperti sediakala, kecuali rentas negeri dan daerah mahu lagi dilarang.

Larangan rentas negeri dan daerah ini menjadikan sekatan jalanraya masih ada di mana-mana dan sedikit-sebanyak menyebabkan kesesakan lalulintas.

Berbeza dengan PKP 1.0 pada Mac 2020 lalu, semua sektor ekonomi ketika itu ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi walaupun kes Covid19 lebih rendah berbanding sekarang yang menjangkau antara 3000 hingga 5000 kes setiap hari.

Meski demikian, walau kes masih tinggi, sementara PKP dan darurat dikuatkuasakan, kelonggaran sektor ekonomi telah diberikan satu persatu.

Alasan yang diberikan ialah untuk memulihkan ekonomi dan agar ia tidak lumpuh sama sekali.

Dalam hal ini, sesuai dengan alasan untuk memulihkan ekonomi dan hampir semua sektornya pula telah dibuka, melaksanakan PKP sebenarnya relevan lagi.

Apalagi, mengetatkan PKP dengan melaksanakan darurat dalam waktu yang sama.

Apa yang berlaku sekarang bukan lagi PKP namanya, tetapi lebih sesuai dipanggil PKPP atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Yang terburuk dan menjadi rungutan ramai dalam PKP sekarang ialah banyaknya sekatan jalanraya, terutama yang diadakan di tengah-tengah jalan sibuk dan sekatan yang diadakan di sempadan negeri-negeri untuk mengawal pergerakan rentas negeri.

Sekatan jalanraya ini bukan saja menimbulkab kesusahan kepada mereka yang banyak berurusan dalam perniagaan dan perlu pergi ke sana sini atas pelbagai urusan, bahkan turut membebankan anggota polis yang terpaksa berpanas terik dan berhujan dalam menjalankan tugas mereka.

Walau difahami pihak polis hanya menjalankan tugas, tetapi kadang-kadang kita turut simpati dan kasihan dengan mereka.

Oleh itu, jika PKP ditamatkan dan digantikan dengan PKPP, sekatan jalanraya tidak perlu lagi diadakan.

Sekaligus ini menjadikan perkembangan ekonomi boleh dilajukan dengan orangramai boleh ke mana-mana dengan lebih lancar, sesuai dengan pembukaan banyak sektor ekonomi yang telah dilakukan.

Turut penting, apabila PKPP dilaksanakan, selain tiada lagi sekatan jalanraya dan rentas negeri mula dibenarkan, ia juga mampu memulihkan sektor pelancangan dan perhotelan yang teruk terjejas apabila semua orang hanya dibenarkan duduk di daerah masing-masing saja.

Pokoknya, semua orang perlu wang dan makanan untuk terus hidup dan menukar PKP kepada PKPP adalah pendekatan paling sesuai untuk membolehkan usaha pencarian rezeki jadi meluas di ketika kerajaan begitu kedekut serta berkira dalam soal menolong rakyat berkaitan moratorium pinjaman bank dan pengeluaran KWSP.

Melaksanakan PKP, ditambah dengan darurat lagi yang menyebabkan usaha mencari rezeki banyak tersekat, sedangkan kerajaan kekal kedekut, dibimbangi lebih ramai mati bunuh diri atau tak makan berbanding kena Covid19.

Pihak polis pula, apabila PKP ditukar kepada PKPP, boleh menumpukan tugas dan perhatian mereka kepada aspek lain seperti pencegahan jenayah yang lebih penting untuk ditangani di waktu ramai orang hilang pekerjaan dan sukar mencari wang yang secara automatik menjadikan kadar jenayah akan meningkat.

Cuma, penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan SOP bagi mengelak virus Covid19 mudah merebak adalah aspek yang harus sentiasa diberi perhatian di seluruh negara.

Kalau sudah menteri pun bebas ke luar negara, kemudian apabila pulang hanya perlu dikuarantin tiga hari saja berbanding 10 hari untuk rakyat biasa, maka apalah salahnya rakyat diberi lebih kebebasan bergerak ke sana sini untuk mencari rezeki dan sesekali dapat pulang ke kampung mengunjungi ibu bapa serta saudara mara?

Lagi pun, keinginan rakyat untuk bergerak hanya semata-mata untuk mencari wang bagi meneruskan kehidupan, bukannya untuk potong usus bagi kurus atau untuk bedah hidung bagi nampak cantik. 

(Shahbudindotcom 10/02/2021)