MAHATHIR, MANUSIA YANG TAK BOLEH DIBUAT KAWAN….


 Rasanya tidak perlu ditulis lebih lanjut lagi tentang pelbagai pendedahan mengejutkan oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berkenaan Tun Mahathir Mohamad, dalam bukunya yang baru diterbitkan, Justice In The Wilderness.


Daripada tindakan meletak jawatan, menolak permintaan Agong agar tidak berbuat demikian, mencadangkan namanya sendiri semula sebagai Perdana Menteri interim, tidak setuju dengan cadangan Agong agar Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri sementara, berkomplot dengan UMNO dan Pas mahu membentuk kerajaan perpaduan, menyingkirkan Lim Guan Eng dan Tommy Thomas sendiri sebagai Peguam Negara dalam kerajaan perpaduan yang bakal dibentuknya kerana ingin memenuhi permintaan UMNO dan Pas serta sehinggalah kepada tujuan paling jahat dalam agendanya itu iaitu mengenepi dan memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, gambaran paling tepat ialah Tun Mahathir merupakan seorang manusia yang paling tidak mengenang budi dan buruk sekali akhlak kepimpinannya.

Tun Mahathir, sebaik berkuasa jelas telah lupa segala jasa dan budi baik orang lain terhadapnya, termasuk Anwar dan keluarganya, parti-parti dalam PH dan semua yang menyokong perubahan kerajaan sebelum itu.

Lebih dahsyat, dengan tidak setuju berkenaan keinginan Agong untuk melantik Dr. Wan Azizah sebagai Perdana Menteri sementara bagi memastikan PH kekal sebagai kerajaan, Tun Mahathir bukan saja lupa terhadap kesediaan PH menerimanya ke dalam gabungan itu, bahkan juga tidak menghargai langsung budi baik isteri Anwar itu yang pernah menolak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sebaik kejayaan menumbangkan BN pada 9 Mei 2018 lalu.

Ketika itu, Agong sebelum ini iaitu Sultan Kelantan telah menawarkan untuk melantik Dr. Wan Azizah sebagai Perdana Menteri lantaran baginda beranggapan parti yang sebenarnya menang ialah PKR, tetapi telah ditolak dengan baik oleh Ahli Parlimen Pandan itu kerana beliau berpegang kepada janji bahawa Tun Mahathir adalah calon Perdana Menteri bagi PH.

Kemudian baru-baru ini, tanpa rasa berdosa sedikit pun atas pengkhianatan yang dilakukannya, Tun Mahathir berkata, tidak mustahil suatu hari nanti negara kita akan mempunyai Perdana Menteri wanita yang pertama.

Cissss…bukankah jika beliau tidak membantah hasrat Agong untuk melantik Dr. Wan Azizah, Malaysia sudah pun mencatat sejarah sebagaimana yang disebutnya itu?

Lihatlah betapa dahsyatnya pura-pura seorang yang bernama Tun Mahathir ini.

Setelah hasratnya ingin kembali berkuasa itu tidak tercapai kerana dipintas oleh Muhyiddin Yassin, beliau kemudiannya terus meroyan menagih sokongan PH dan tidak henti-henti menyalahkan Anwar kerana enggan memberi peluang kepadanya menjadi Perdana Menteri hanya selama enam bulan lagi.

Bolehkah kita bayangkan apa jadi ketika ini jika ditakdirkan Anwar setuju dengan permintaan beliau itu?

Hanya satu yang nyata, dengan pelbagai perkara yang terdedah, sama ada ditulis secara terbuka atau melalui percakapan pelbagi pihak lain, tidak terkecual buku Tommy Thomas ini, keputusan Anwar menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Tun Mahathir sebenarnya adalah tepat sekali.

Tun Mahathir adalah seorang yang tidak boleh dipercayai bila berjanji, tidak pernah mengenang budi serta jasa orang lain, bahkan secara lebih tepatnya adalah seorang yang tidak boleh dibuat kawan dalam berpolitik.

Politik Tun Mahathir ialah hanya dia saja yang betul dan mesti dia jadi Perdana Menteri, lepas dia, dia lagi dan sampai mati pun tetap mahukan kerusi Perdana Menteri menjadi miliknya.

Dengan kuasa yang dimiliknya, siapa saja yang menjadi kawannya pasti akan dikhianati dan dikencingnya demi memastikan kelangsungannya kepada kemaruk kuasa tidak tergugat.

Sejak dalam UMNO dulu, itulah juga cara permainannya dan dalam semua tindakannya melalukan cantasan politik yang dilakukannya, ada saja orang yang diperguna dan diperalatkannya bagi menampakkan dirinya dilihat suci bersih.

Dalam kes kejatuhan PH ini pun, semuanya juga berpunca daripada permainan yang diatur dan diorkestera olehnya, cuma segala yang dirancangnya tidak berjaya sebagaimana keinginannya.

Kini Tun Mahathir semakin meniti senja sebelum gelap malam datang menjelma menutup tirai kehidupannya, tetapi perlakuan, gerak geri dan nada cakapnya tidak sedikit pun menunjukkan ada penyesalan dan perubahan atas segala pengkhianatan dan tidak mengenang jasa kawan-kawan yang menjadi amalannya selama ini.

Mungkinkah panjang usia yang dikurniakan Tuhan kepadanya semata-mata untuk Yang Maha Esa memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk kian mengenalinya, mana tahu selepas ini ramai lagi yang tahu cerita-cerita di sebalik tabir pengkhianatannya akan turut menulis buku yang sama seperti Tommy Thomas juga? 


(Shahbudindotcom 31/01/2021)