ABIM tempelak kenyataan Khairuddin memberikan kebenaran untuk membalak semasa PKP

 


ABIM tempelak kenyataan Khairuddin memberikan kebenaran untuk membalak semasa PKP


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan mengenakan moratorium terhadap sebarang kegiatan pembalakan, selepas ia kembali dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kebenaran itu bercanggah dengan proklamasi darurat yang turut menyebut bencana banjir sebagai antara faktornya.

“Abim menegaskan perkembangan terbaru ini (kebenaran untuk pembalakan) amat bercanggah dengan penjelasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mendakwa nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perisytiharan darurat bagi menangani beberapa isu besar iaitu penularan wabak Covid-19 serta bencana banjir di beberapa buah negeri.

“Abim menegaskan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengeluarkan satu perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan sebagai solusi tuntas kepada kedua-dua bencana ini yang akhirnya membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Dia juga berkata kegiatan pembalakan berleluasa adalah antara punca perubahan iklim yang akhirnya menyebabkan ketidaktentuan cuaca seperti waktu dan kadar taburan hujan.

“Bencana besar banjir yang sering berlaku berpunca daripada perubahan iklim.

“(Ketidaktentuan hujan) menjadi penyebab banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi,” katanya yang juga koordinator Jaringan NGO Pelbagai Agama Menangani Isu Perubahan Iklim (MCCIN).

Pada 30 Jan lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali berkata keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor perhutanan dan yang berkaitan, termasuk pembalakan, akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di saat penularan Covid-19.

Katanya, ia juga memberi kelegaan bagi sektor tersebut selain manfaat kepada mangsa banjir untuk mendapat bekalan perabot baru yang musnah. Menurutnya, sektor perabot dianggarkan menggukana 85 peratus bahan mentah tempatan.

Menyifatkan kenyatan Khairuddin sebagai “tidak kena”, Faisal berkata kerajaan seharusnya tidak berdepan masalah untuk mengenakan moratorium jika mempunyai kemahuan politik yang tinggi.

Tambahan pula, katanya lagi, kerajaan pada 2019 pernah mengeluarkan perintah sma terhadap kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang pada 2019.