SEBAIK PARLIMEN DIBUBAR, BEBERAPA PEMIMPIN UMNO DIJANGKA LOMPAT SERTAI BERSATU

 

Apakah Muhyiddin Yassin tidak berasa bimbang dengan penolakan UMNO secara besar-besaran untuk bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU akan datang sebagaimana dizahirkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian parti itu sekarang ini?

Barangkali ramai yang dalam hati bertanyakan soalan tersebut, terutama melihatkan Muhyiddin seolah-olah relaks saja dan tidak melompat langsung dengan gelombang yang sedang berlaku.

Tidak bimbangkah beliau bakal dijatuhkan oleh UMNO?

Seorang pemimpin Bersatu ketika diajukan persoalan tersebut berkata, tiada apa yang mampu dilakukan oleh Perdana Menteri dalam situasi sekarang, selain bersikap tunggu dan lihat saja terhadap perkembangan seterusnya.

Ini kerana, kata pemimpin tersebut, apa yang berlaku sekarang adalah urusan UMNO dan ia di luar kawalan Muhyiddin untuk menyekatnya.

“Terpulang kepada UMNO sama ada dengan keputusan UMNO bahagian-bahagian itu mereka mahu terus bersama PN atau keluar daripada kerajaan ,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau percaya, pilihan yang akan diambil oleh Muhyiddin jika UMNO menarik sokongannya ialah akan memohon kepada Yang Dipertuan Agong agar Parlimen dibubarkan bagi PRU semula diadakan dengan segera.

“Lagi pun mengadakan PRU semula adalah pilihan yang adil bagi semua pihak,” tambahnya lagi.

Mampukah Bersatu dan PN memenangi PRU jika ia diadakan semula?

Pemimpin Bersatu itu seterusnya mengingatkan bahawa sebagai Perdana Menteri yang masih ada kuasa, sedikit sebanyak Muhyiddin mempunyai kelebihan untuk membawa kemenangan buat Bersatu dan PN berbanding lawan, khususnya UMNO, jika PRU diadakan semula.

Lagi pun, tegas beliau, dengan adanya Pas bersama Bersatu dalam PN sekarang, keyakinan untuk mengatasi UMNO dan memenangi PRU adalah lebih memberangsangkan lagi.

“Dengan penggabungan Pas dan Bersatu, kita percaya PN lebih mampu menawan kawasan-kawasan Melayu berbanding UMNO yang sudah rosak dan pemimpinnya pula banyak sudah tercemar dengan kes-kes mahkamah,” kata pemimpin itu lagi.

Selain itu, beliau juga berkata, mereka dalam UMNO yang menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu hanya melibatkan 143 daripada 191 bahagian keseluruhannya.

Bermakna, tambahnya, ia bukanlah suatu keputusan yang solid dan kukuh.

Dalam hal berkaitan, pemimpin tersebut turut mendedahkan, akan ada beberapa pemimpin UMNO bakal menyeberang menyertai Bersatu dan bertanding atas tiket PN dalam PRU akan datang nanti.

Mereka itu, katanya, berbuat demikian bukan saja kerana lebih yakin dengan kepimpinan Muhyiddin dan PN, malah juga disebabkan berasa lebih selesa untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya di kawasan yang ditandingi melalui wujudnya kerjasama antara Bersatu dengan Pas.

“Selain itu, pemimpin UMNO yang pro Muhyiddin dalam kerajaan yang tidak dicalonkan semula oleh BN disebabkan kecondongan mereka adalah juga antara yang bakal menyertai Bersatu dan bertanding atas tiket PN,” jelas pemimpin berkenaan dengan yakin. 


(Shahbudindotcom 04/01/2020)



No comments: