Oleh Liew Chin Tong
(Pengarah Pendidikan Politik DAP)
Bukan sahaja ahli dan sekutu DAP perlu mempunyai kefahaman tentang parti DAP. Pengaruh DAP yang signifikan selain kekuatannya di Parlimen hari ini bermakna para pengamal media dan juga orang ramai perlu mengambil tahu, bagi menghindari salah faham.
Saya sering ditanya kenapa ‘presiden’ DAP tidak dilantik terus oleh para perwakilan? Pertamanya, DAP tidak mempunyai presiden. Mengikut tradisi parti-parti kiri, pemimpin nombor satu DAP ialah Setiausaha Agung.
Dalam DAP, Setiausaha Agung adalah setaraf CEO sesebuah organisasi manakala Pengerusi adalah setaraf Pengerusi Lembaga Pengarah. Pengerusi bertugas memastikan wujud semak imbang ke atas CEO melalui Mesyuarat Lembaga – dan dalam kes DAP, mesyuarat ini adalah mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Setiausaha Agung/CEO tidak mempunyai kuasa mutlak. Beliau mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan operasi, namun perlu mengikut keputusan bersama CEC/Lembaga dalam soal-soal dasar. Ketiadaan presiden yang berkuasa mutlak adalah suatu rahmat buat DAP. Lihat sahaja kepada Umno di bawah Datuk Seri Najib Razak dan anda akan faham apa maksud saya.
Perwakilan di Kongres Kebangsaan DAP melantik 30 orang anggota CEC yang kemudiannya akan melantik siapakah Setiausaha Agung, Pengerusi dan mengisi jawatan-jawatan lain sesama mereka.
Baru-baru ini saya terbaca bagaimana seorang pemimpin DAP yang terkeliru menyatakan bahawa sistem sebegini tidak demokratik dan kononnya perlu diperbaiki kepada sebuah sistem yang membolehkan para perwakilan melantik presiden secara terus sepertimana Umno, MCA, PKR dan lain-lain.
Jawapan saya mudah sahaja: Adakah anda mahu menghapuskan sistem parlimen yang diamalkan Malaysia untuk diganti dengan sistem presiden Amerika Syarikat hanya kerana anda merasakan sistem parlimen tidak demokratik?
Kita melantik 222 Ahli Parlimen, di mana salah seorangnya dilantik menjadi Perdana Menteri. Dalam hal DAP, para perwakilan melantik 30 anggota CEC yang daripada seorang Setiausaha Agung akan dilantik.
Saya berpendapat bahwa lebih banyak parti-parti politik di Malaysia akan memilih sistem parlimen seperti DAP kerana sistem yang demikian membolehkan wujudnya satu sistem kerja yang koheren dan sepakat dalam kalangan pimpinan. Ia juga boleh menghindari lahirnya ‘lone ranger’ seperti Donald Trump yang merampas platform parti secara tiba-tiba, sepertimana Najib menjadikan partinya sebagai tebusan.
Pimpinan Negeri Umno
DAP tidak mempunyai ‘warlord kawasan’ parlimen, manakala kepimpinan negeri dilantik secara demokratik oleh ahli-ahli. Mungkin Umno perlu belajar tentang ini daripada DAP.
Hakikatnya, Umno dan MCA satu ketika dulu mempunyai kepimpinan negeri yang amat berkuasa. Sepertinya negeri lebih utama daripada peringkat nasional. Namun semua ini tidak lagi mungkin selepas PRU tahun 1959.
Ketua Umno negeri Kedah ketika itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang bertengkar dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman tentang soal kelayakan calon. Dr Mahathir bertegas bahawa hanya mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan sahaja boleh dijadikan calon, dan justeru mengehad bilangan calon yang ada.
Selepas Perikatan tewas di Kelantan dan Terengganu pada PRU 1959, tindak balasnya secara umum ialah untuk menggunakan kuasa Kerajaan Pusat untuk memberi bantuan bagi melawan parti seperti PAS.
Secara dalaman, Umno bertindak melucutkan lapisan pemimpin negeri dan membolehkan presiden parti melantik Ketua Perhubungan Negeri dan Jawatankuasa bagi menghalang kabangkitan mereka yang kepala batu seperti Dr Mahathir daripada memimpin parti di peringkat negeri. Ironinya, apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau mendapati sistem tersebut amat bermanfaat.
Dengan keadaan Umno mengawal hampir kesemua kerajaan negeri dari 1959 hingga 2018, setiap Perdana Menteri mempunyai kawalan ke atas setiap menteri besar melalui kuasanya melantik atau memecat ketua perhubungan Umno negeri.
Inilah sebab utama kenapa Malaysia mempunyai sistem federalisme berpusat yang berlebihan; yang kini mungkin berdepan perubahan akibat kuasa pusat yang kini terpecah-pecah. Perdana Menteri sekarang datangnya daripada parti Bersatu manakala jawatan Menteri Besar di beberapa negeri dipegang oleh Umno. Saya dapat meramalkan bahawa seandainya Perdana Menteri mengadakan pilihan raya mengejut, kebanyakan Menteri Besar Umno tidak akan menurut.
‘Warlord’ Bahagian Umno
Apabila Umno menghapuskan pemilihan kepimpinan negeri, parti itu menggerakkan pemilihannya satu tahap kebawah, iaitu di peringkat bahagian. Umno kini terperangkap dengan ‘warlord’ bahagian ini.
Salah satu sebab penting kenapa Umno mereput di peringkat akar umbi adalah kerana pimpinan bahagian tidak mahu melihat ahli-ahli baharu yang bijak dan berkemampuan masuk mencabar mereka.
Najib terus bertahan pada tahun 2015 walaupun selepas krisis 1MDB ekoran kemampuannya mengawal majoriti ketua bahagian. Mereka inilah ‘warlord’ di kawasan masing-masing.
Ramai sebenarnya yang sudah melebihi tarikh luput dan ditolak pengundi. Namun mereka terus kekal kerana walaupun tidak dilantik sebagai Ahli Parlimen atau Adun, mereka masih boleh menggunakan kedudukan mereka sebagai ketua bahagian untuk memeras Najib supaya memberikan kontrak atau peruntukan pembangunan kawasan yang dinafikan daripada wakil rakyat pembangkang yang dilantik melalui pilihanraya.
Umno tidak tahu bagaimana untuk menangani hal ini apabila ia menjadi pembangkang selepas PRU 2018, dan ia kini menjadi penumpang kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Langkah Sheraton.
Organisasi akar umbi DAP yang kecil tetapi berkesan
Tidak seperti kebanyakan parti politik di Malaysia, DAP tidak mengikuti langkah Umno pada 1960 untuk membendung kepimpinan negeri. Kepimpinan Negeri DAP dilantik, dan selalunya ditandingi secara sengit dan demokratik.
Sepanjang sejarah DAP, parti tidak mempunyai bilangan cawangan yang banyak di setiap kawasan Parlimen. Peringkat kawasan yang kuat adalah suatu kemewahan buat parti, ketika ia merupakan sebuah parti pembangkang kekal.
Struktur parti DAP di peringkat parlimen dipanggil ‘jawatankuasa perhubungan’ yang dahulu dilantik tetapi kemudiannya dipimpin oleh wakil rakyat sedia ada di kawasan terbabit setelah perlembagaan parti dipinda. Peranan di peringkat kawasan ini hanyalah untuk tujuan koordinasi.
Saya dapat meramalkan bahawa Umno akan satu hari nanti sedar dan memulihkan pemilihan parti di peringkat negeri dan menyingkir atau sekurang-kurangnya mengurangkan kuasa ketua-ketua bahagian. Jika tidak, ia tidak akan dapat bersaing mendapatkan bakat-bakat baharu di saat peremajaan dan pembahagian demi memenangi PRU adalah hampir mustahil buat Umno.
Saya mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk mengkaji DAP dengan lebih mendalam memandangkan ia kini merupakan sebuah kuasa penting dalam politik negara. Bukanlah semua dalam DAP itu sempurna, tetapi untuk menghakimi parti dengan adil, seseorang itu perlulah memahami bagaimana ia berfungsi dan kenapa ia distruktur sedemikian rupa.