UMNO AKAN TERUS DIBULI BERSATU JIKA BUKAN PRESIDENNYA DILANTIK SEBAGAI TPM

 

Keinginan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mahu melantik Timbalan Perdana Menteri selain Zahid Hamidi, bukan saja tidak dapat menyelesaikan isu hubungan UMNO dengan Bersatu, malah lebih bertujuan untuk membunuh masa depan politik Presiden UMNO itu.

Dengan orang lain yang dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO, Zahid Hamidi pasti akan terkubur dan tidak mampu mampu lagi mempertahanlan jawatannya dalam pemilihan parti pada tahun depan.

Atau memang demikian yang dimahukan Muhyiddin agar selepas itu UMNO akan terus dibuli untuk tunduk kepada segala kemahuan Bersatu?

Sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina, Muhyiddin dikatakan sedia melantik antara tiga pemimpin UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri iaitu Mohamad Hasan, Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, Muhyiddin dikatakan tidak mahu melantik Zahid Hamidi bagi jawatan tersebut kerana Zahid Hamidi masih berdepan kes mahkamah.

Dalam hal ini, selain ingin membunuh masa depan Zahid Hamidi, beliau juga ternyata mempunyai sikap “double standard” yang sejati dalam pertimbangannya.

Kalau itu alasannya, mengapa beliau membenarkan Bung Mokhhar Radin yang juga berdepan kes mahkamah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah?

Apa bezanya, bukankah Zahid Hamidi dan Bung Mokhhar Radin sama-sama sedang berdepan perbicaraan di mahkamah?

Bukankah prinsip perundangan mengatakan seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga ia dibuktikan bersalah?

Lebih jauh daripada itu, apa pula bezanya jika melantik Zahid Hamidi yang ada kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan memberi jawatan menteri kanan yang setaraf Timbalan Perdana Menteri kepada Azmin Ali yang kedudukannya difahami ramai seolah-olah dilindungi daripada didakwa di mahkamah berkaitan isu “video Haziq”?

Apakah Azmin yang dilindungi dan disimpan kesnya, tetapi video terangnya bertebaran di mana-mana, dianggap lebih bersih daripada Zahid Hamidi yang kesnya masih lagi dibicarakan?

Walaupun diakui Zahid Hamidi ada kes mahkamah, namun beliau telah berjaya memulihkan UMNO pasca kalah PRU14 lalu, termasuk meneroka dimensi baru hubungan dengan Pas.

Ia menjadikan UMNO kembali diterima sehingga mampu menang beberapa PRK kecil sebelum ini, termasuk menewaskan Bersatu sendiri.

Dengan yang demikian, selain mengambil kira fakta bahawa kes mahkamahnya adalah atas kapasiti individu, Zahid Hamidi tidak harus dinafikan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri berdasarkan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya.

Seharusnya seluruh ahli UMNO mesti mempertahankan Zahid Hamidi sebagai menghormati institusi Presiden UMNO itu sendiri.

Lagi pula, jika sebelum ini Muhyiddin menidakkan jawatan nombor dua dalam kerajaan itu untuk UMNO dan memberinya kepada Azmin, tiba-tiba sekarang mahu menawarkannya kepada UMNO di ketika parti itu sedang lantang untuk memutuskan hubungan kerjasama dalam PN, ia jelas memperlihatkan ketidakikhlasan Muhyiddin.

Lebih tidak ikhlas, diletakkan pula syarat bahawa jawatan itu bukan untuk Zahid Hamidi, tetapi untuk pemimpin lain selainnya.

Harus difahami, hubungan kerjasama UMNO dengan Bersatu dalam PN tidak akan pulih jika bukan Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ia malah akan menjadikan UMNO terus menjadi mangsa buli Bersatu untuk tempoh yang lebih lama, bahkan mungkin juga buat selama-lamanya.

Melalui tawaran baru yang berniat jahat dan ada maksud “telunjuk lurus kelingking berkait” ini, UMNO tiada pilihan selain harus menolaknya mentah-mentah.

Kalau tidak diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mesti membawa UMNO segera keluar PN untuk sama ada mencari rakan baru yang lebih memahami serta menghormati kedudukannya sebagai Presiden UMNO, malah jika meninggalkan PN boleh membawa kepada PRU diadakan dalam kadar segera, beliau juga tidak mustahil mampu terus menduduki kerusi Perdana Menteri.

Untuk itu, tolak saja tawaran Muhyiddin ini. (Shahbudindotcom 28/10/2020)



No comments: