Pembentangan bajet bukan perkara remeh. Sewajarnya tiada mainan politik di dalam bab pembentangan bajet ini kerana ia melibatkan perbelanjaan negara untuk rakyat bagi tahun hadapan di samping menjadi kayu ukur di atas kebolehan kerajaan menguruskan negara.
Namun, bagi membentangkan bajet yang begitu besar implikasinya kepada negara dan rakyat keseluruhannya, amat penting dan menjadi kewajipan utama adalah mesti dibentangkan oleh kerajaan yang diketuai seorang PM yang sah mengikut perlembagaan. Sekiranya seorang PM itu diragui kesahihannya atas sebab beberapa perkara tambahan pula dicabar oleh seorang MP lain yang telah mengemukakan bukti dan dokumen bahawa beliau mempunyai sokongan lebih kuat dari PM yang ada sekarang, menjadi kewajipan dan tanggungjawab PM sekarang untuk membuktikan bahawa beliau masih seorang PM yang mendapat sokongan majoriti.
Seluruh dunia telah melihat di dalam beberapa usul di Parlimen sebelum ini, kerajaan hanya berjaya membuktikan mendapat sokongan 111 undian di Parlimen, iaitu tidak mencapai angka separuh dari jumlah kerusi parlimen iaitu 112. Keraguan terhadap PM bertambah ketara apabila terdapat beberapa orang MP yang sebelum ini dikatakan menyokong PM telah menunjukkan sikap yang berbeza dan menolak beliau secara terbuka.
Paling ketara apabila Ketua Pembangkang secara terbuka telah menyatakan beliau memperolehi sokongan majoriti yang kukuh dan bukti berbentuk dokumen telah dihantar ke Istana. Kenyataan Dato Seri Anwar Ibrahim ini telah diperakui oleh Presiden Umno secara terbuka apabila beliau menyatakan terdapat ramai MP Umno telah menyokong Ketua Pembangkang ini. Sebagaimana kita ketahui, proses yang sepatutnya berlaku di Istana telah tertangguh beberapa minggu dan selang masa ini terdapat banyak kekeliruan yang wujud tentang berapakah sokongan sebenarnya terhadap PM, Muhyiddin Yassin.
Beberapa usul tidak percaya terhadap PM katanya telah mula terkumpul untuk dibawa ke Parlimen dan salah satu darinya dibawa oleh MP dari Umno sendiri. Ini menambahkan lagi ketidaktentuan kesahihan Muhyiddin sebagai PM.
Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi GERAK98 Negeri Pahang merasakan amat penting bagi Parlimen menamatkan krisis keyakinan ini agar pembentangan bajet nanti dapat berjalan dengan baik dan teratur. Biarlah bajet kali ini datangnya dari seorang PM yang sah dan berkeyakinan serta mendapat kepercayaan. Bajet tidak boleh dipaksakan kepada Parlimen untuk diterima bulat-bulat apatah lagi dibentangkan oleh kerajaan yang PM nya diragui.
WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Pengerusi GERAK98
Negeri Pahang