Gesaan peletakan jawatan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin bukan sahaja dibuat oleh ahli politik pembangkang dan rakyat,
malah menerima gesaan daripada Umno.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata gesaan itu
dibuat kerana Muhyiddin mahu melaksanakan perintah darurat tanpa persetujuan
rakyat, malah tidak mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis
Raja-Raja.
Bagi Puad, tindakan Muhyiddin itu adalah satu muslihat politik
yang dipelopori oleh dua orang menteri kanannya iaitu Azmin Ali dan Hamzah
Zainuddin yang kedua-duanya juga merupakan pemimpin Bersatu.
"PPBM sedang tuduh menuduh. Semua menuding jari ke arah Azmin
dan Hamzah. Benarkah “ill advise” kepada Muhyiddin itu adalah mereka.
"Ada dua kesan besar apabila Agong menolak permohonan
Muhyiddin. Pertama, Agong menyedari “langkah Muhyiddin” itu hanyalah muslihat
politik bukan untuk memerangi Covid-19.
"Di para tiga kenyataan media Istana Negara,
dinyatakan....”Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya
menangani wabak ini dengan baik dan berkesan”.
"Kalau Agong yakin, kenapa perdana menteri tidak yakin.
Apakah perdana menteri cuba membohongi Agong? Alhamdulillah, Agong dan Majlis
Raja-Raja amat teliti dan bijaksana," katanya dipetik.
Puad juga berpandangan bahawa Muhyiddin sudah hilang kredibiliti
sebagai perdana menteri apabila permohonannya sendiri tidak diterima oleh
Agong.
"Ramai pakar perundangan mengatakan Agong harus mendengar
nasihat Perdana Menteri seperti termaktub dalam Artikel 40 Perlembagaan
Persekutuan.
"Tapi nampaknya nasihat Memanda Menteri tidak diterima. Maka
di mana kredibiliti seorang Perdana Menteri.
"Syukur, Agong tidak dipengaruhi oleh game politik yang boleh
mengheret negara ke kancah lebih parah. Kesejahteraan rakyat lebih utama.
"Sewajarnya Muhyiddin berundur," katanya lagi.