KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN PASIR GUDANG

 KENYATAAN MEDIA

AHLI PARLIMEN PASIR GUDANG


Isu Penolakan Darurat


1.Keputusan Yang diPertuan Agong (YDPA) menolak permohonan PM untuk perisytiharan Darurat melegakan rakyat;


2.Keputusan tersebut menunjukkan YDPA memahami dan menghormati teras asas negara Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan;


3.Dengan keputusan YDPA itu rakyat dan semua pihak sekarang dapat melihat institusi raja-raja Melayu boleh diharapkan untuk menjadi benteng terakhir untuk mengelakkan negara ini terjerumus ke pemerintahan Eksekutif yang tiada legitimasi dan menuju ke arah autokrasi.


4.Keputusan YDPA itu jelas mencerminkan Baginda berhati-hati menggunakan kuasa Baginda di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dalam memutuskan sama ada Proklamasi Darurat perlu dibuat atau tidak.


5.Kenyataan dari Istana Negara itu yang dikeluarkan oleh Datuk Bijaya Diraja dirangka dengan cermat untuk mengelakkan krisis perlembagaan.


6.Di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan dinyatakan dengam jelas bahawa YDPA hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.


7.Tetapi di dalam isu Dharurat ini YDPA dengan berani menolak nasihat Perdana Menteri supaya Dharurat diisytiharkan kerana Baginda faham jika diteliti dengan mendalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan kuasa budi bicara terletak pada tangan YDPA untuk mengisytiharkan darurat atau tidak.Satu daripada isunya ialah sama ada YDPA berpuas hati atau tidak suatu darurat besar sedang berlaku.Baginda pada akhirnya mendapati selepas berunding dengan raja-raja Melayu bahawa syarat suatu darurat besar itu tidak wujud.Dengan kata lain baginda tidak berpuas hati.


8.Dalam tradisi dan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, saya berpendapat penolakan YDPA adalah satu tamparan kepada Perdana Menteri dan  Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.


9.Tindakan yang bermaruah yang perlu diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah beliau sepatutnya segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.


Hassan bin Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Ahad 25 Oktober 2020.



No comments: