Gubal segera Akta Anti-Lompat Parti – Lim Lip Eng
Tindakan ahli-ahli politik yang melompat parti secara berterusan memalukan imej negara
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa agar undang-undang Anti Lompat Parti digubal segera.
“Tahun 2020 telah menyaksikan betapa hebatnya kewujudan ‘Politik Katak’ di negara kita. Pemimpin-pemimpin politik yang mengamalkan ‘Dasar Katak’ telah menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan juga di beberapa negeri serta sekaligus memusnahkan mandat rakyat,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau berkata hanya undang-undang seperti itu mampu menghentikan amalan lompat parti oleh Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri). Mereka yang berbuat demikian harus dikenakan bayaran denda yang amat tinggi sebab perbuatan mereka telah membatalkan keputusan pilihan raya serta memusnahkan pilihan yang dibuat oleh rakyat di peti undi.
“Ahli-ahli politik perlu mengamalkan politik yang bermaruah, berwibawa dan berprinsip. Duta-duta asing dari negara-negara lain yang berada di sini tentu dapat perhatikan peristiwa dan perkembangan politik di Malaysia. Apakah pandangan mereka terhadap imej negara kita? Inilah yang amat membimbangkan,” katanya lagi.
Beliau menjangka situasi politik tidak akan stabil sehingga undang-undang untuk menghalang lompat parti dilaksanakan.
Berkenaan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah dalam masa terdekat pula, Lim berharap rakyat Sabah akan membuat pilihan yang bijak dan menolak pemimpin-pemimpin yang tidak ikhlas dan tidak berprinsip.
“Aktiviti berpolitik yang keterlaluan akan membinasakan negara kita lebih-lebih lagi di zaman wabak Covid-19. Kita sepatutnya memberi tumpuan 100% kepada aktiviti dan usaha untuk membantu rakyat pada masa yang amat memerlukan ini. Aktiviti percaturan politik wajar dihentikan dengan serta-merta demi masa depan rakyat dan negara,” katanya.