Tuesday, July 7, 2020

TIDAK GUNA UMNO BERMUAFAKAT DENGAN PAS JIKA TIDAK MAHU JAWATAN PM.


Apabila BN kalah PRU14 dan UMNO buat pertama kali hilang kuasa sejak merdeka, bahkan peranan Pas sebagai kuasa ketiga dan untuk memecahkan undi juga tidak menjadi, kedua-dua parti itu akhirnya mengambil keputusan menukar hubungan yang selama ini tersembunyi menjadi sebuah ikatan rasmi.
Dengan itu, terbentuklah Muafakat Nasional, suatu perkahwinan politik yang rasmi antara UMNO dan Pas.
Sebelum ini, hubungan UMNO dan Pas hanyalah secara tidak rasmi dan kononnya bukan berkaitan politik.
Ia bermula apabila Najib Razak dan Hadi Awang duduk sepentas berbaju merah jambu dalam Program Multaqa Ulama pada 17 Disember 2015 di mana kehadiran mereka itu telah mencetuskan kegemparan baru dalam politik negara ini.
Sejak itu telah dikesan seolah-olah wujud hubungan main mata antara UMNO dan Pas, meskipun kedua-duanya saling menafikan.
Apa lagi, melalui kenyataan beberapa pimpinan Pas yang mula lunak terhadap UMNO, diikuti dengan parti itu bertanding 145 kerusi dalam PRU14 lalu, tujuannya adalah nyata difahami untuk memberi laluan mudah kepada UMNO mengekalkan kuasa melalui usaha memecahkan undi.
Begitu pun, berikutan arus perubahan yang ditunjukkan oleh rakyat terlalu kuat, UMNO dan BN gagal mengekalkan kuasanya, manakala Pas pula hanya menang 18 kerusi saja.
Tetapi, kekalahan BN itu telah menjadikan UMNO dan Pas berani mendedahkan hubungan mereka sehingga akhirnya terbentuklah Muafakat Nasional.
Dalam hal ini, tanpa keraguan lagi wujudnya Muafakat Nasional adalah kerana UMNO ingin berkuasa semula.
Pas pula setuju mengikat hubungan secara rasmi dengan UMNO ialah untuk memberi bantuan secara terbuka, tidak lagi secara sembunyi dan tidak rasmi seperti sebelum ini.
Begitu pun, berdasarkan perkembangan semasa, terutama setelah hubungan melalui Muafakat Nasional telah menunjukkan hasil dengan mereka menang beberapa pilihanraya kecil, malah UMNO dan Pas kemudiannya juga berjaya berada dalam kerajaan melalui pintu belakang bersama Muhyiddin Yassin dan Bersatu, UMNO kini seolah-olah berundur ke belakang dengan tidak mahu lagi pemimpinnya duduk di kerusi Perdana Menteri.
Kecenderungan UMNO, terutama yang ditunjukkan oleh pemimpinnya yang ada jawatan dalam kerajaan ialah mereka mahu terus mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Apa sudah jadi?
Lupakan UMNO kepada tujuan Muafakat Nasional yang diwujudkan?
Lupakah juga kepada tujuan bergabung dengan Pas?
Bukankah ia untuk memenangi pilihanraya, mengambil balik kuasa dan meletakkan semula pemimpin UMNO sebagai Perdana Menteri?
Walaupun difahami UMNO kini bersama dengan Bersatu dalam PN, tetapi tidakkah UMNO dan Pas merupakan blok terbesar dalam kerajaan, bukan saja sekarang malah besar kemungkinan kedudukan itu berterusan lagi selepas PRU15 nanti?
Makanya, UMNO bukan saja harus, bahkan wajib, mengambil alih kerusi Perdana Menteri yang diduduki Muhyiddin sekarang ini.
Sebagaimana banyak disebut oleh pemimpin UMNO sendiri sebelum ini bahawa sokongan kepada Muhyiddin hanyalah sehingga PRU15 atau secara sementara saja, ia seharusnya dikekalkan sampai bila-bila.
Lebih-lebih lagi dengan kedudukan Bersatu yang berantakan, tiada akar umbi, hanya parti kecil dan sekadar parti serpihan kepada UMNO, mengekalkan lagi Muhyiddin adalah sesuatu yang memalukan buat parti Melayu terbesar itu.
Lebih daripada itu, dengan bergabung bersama Pas pula, Muafakat Nasional adalah gabungan politik Melayu terbesar yang tidak pernah tercipta di negara kita sebelum ini.
Namun, tiba-tiba tiada calon Perdana Menteri yang mahu ditonjolkan!!
Tidakkah ia pelik jadinya?
Jika tidak mahu jawatan Perdana Menteri, lebih baik UMNO tinggalkan saja Muafakat Nasional dan semua ahli UMNO beramai-ramai berpindah menyertai Bersatu.

 (Shahbudindotcom 07/07/2020)


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers