Meskipun sudah kerapkali diperingatkan bahawa hal peralihan kuasa adalah urusan PH dan tiada kena mengena dengan Pas, Hadi Awang, selang dua tiga hari sekali, pasti meroyan berkaitan perkara itu.
Ada-ada saja cecehan yang lebih menampakkan kedengkiaan dan ketakutan Hadi kepada Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri ditimbulkannya, sambil menampakkan kerjaya barunya sekarang ini sebagai penjiat kepada Tun Mahathir Mohamad.
Sedar tak sedar, Hadi sebenarnya adalah pemimpin yang paling banyak bercakap mengenai peralihan kuasa dan kekerapannya itu mengalahkan pemimpin dalam PH sendiri.
Tidakkah ini pelik?
Duduk sebagai pembangkang dan ada Muafakat Nasional, tapi lebih sibuk tentang peralihan kuasa dalam PH?
Tok Guru ni dah nyanyuk atau lupa makan ubat?
Dalam bebelan terbarunya, selain barangkali sudah buat kali yang ke 1001 menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir agar kekal di kerusi Perdana Menteri sehingga habis penggal, beliau sekali lagi menyatakannya perkara itu.
Kali ini, oleh kerana tempoh peralihan kuasa semakin hampir menjadi kenyataan, beliau mencadangkan agar Anwar membuat usul undi tidak percaya di Parlimen.
“Pihak yang nak sangat jadi PM ni, buat undi tak percayalah kepada Tun Mahathir,” katanya.
Kesian Tok Guru Hadi ini, ada ilmu agama, mengajar pula di sana sini, tetapi hati penuh dengan perasaan hasad dan dengki.
Apa agaknya yang diperolehinya daripada membaca Al-Quran setiap hari?
Tidakkah Hadi tahu, soal peralihan kuasa kepada Anwar adalah perjanjian dalam PH yang sudah pun dipersetujui oleh Tun Mahathir sendiri sejak sebelum PRU14 lagi, di mana ketika itu beliau tengah asyik mahsyuk berdakap mesra dengan UMNO dan Najib Razak.
Tidak sekadar itu, ketika itu juga, Hadi sibuk melabel Tun Mahathir dengan pelbagai kata-kata penghinaan seperti sudah tua, kitar semula dan lebih layak menjadi doktor di klinik 1Malaysia berbanding menjadi Perdana Menteri.
Oleh kerana ia sudah ada dalam perjanjian, tiada keperluan untuk Anwar membuat usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, sebaliknya yang perlu ialah menunggu tarikh serah kuasa itu ditetapkan yang masanya mungkin tidak berapa lama lagi.
Tambahan pula, Tun Mahathir sudah pun mencecah usia 95 tahun, berapa sangatlah lagi boleh hidup di dunia ini?
Jika Anwar boleh bersabar, mengapa Hadi pula yang tidak sabar-sabar sehingga mencadangkan usul undi tak percaya diadakan?
Yang pelik dengan Hadi ini, dulu bukan main menghina Tun Mahathir, kenapa sekarang menjilat semula orang yang pernah dihina dahulu?
Kenapa sibuk-sibuk dengan urusan peralihan kuasa dalam PH yang tiada kena mengena dengannya?
Lagi pun, bukankah Pas sudah ada kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional dan kenapa tidak Hadi tumpukan saja perhatian dan tenaganya kepada gabungan itu sepenuhnya?
Atau lebih baik tumpu saja kepada dua tiga bini yang ada sekarang ini? (ShahbudinHusin 02/02/2020)