Semakin hampir ketibaan tempoh matang dua tahun peralihan kuasa, kata-kata atau kenyataan Tun Mahathir Mohamad nampaknya makin berbelit-belit dan kian sukar difahami.
Apakah ia disebabkan faktor usia yang menyebabkan beliau semakin lupa dan tidak ingat lagi kepada janji lama?
Walaupun masih mengatakan nama Anwar Ibrahim sebagai penggantinya untuk mengisi kerusi PM8, ekor kata-kata sering menimbulkan banyak persoalan kekeliruan.
Mari kita perhatikan satu demi satu belitnya kata-kata Tun Mahathir itu:-
Sebelum dapat kuasa – saya hanya mahu jadi Perdana Menteri selama dua tahun saja dan oleh kerana saya ada pengalaman, tempoh itu memadai untuk saya memperbaiki kerosakan negara dan memulihkan ekonomi.
Tidak lama selepas dapat duduk di kerusi Perdana Menteri – mungkin dua tahun dan mungkin lebih daripada itu baru ada peralihan kuasa.
Kemudian – Tun Mahathir mengatakan jika Anwar memberi izin, dapatlah dia menjadi Perdana Menteri selama dua setengah tahun.
Kemudian daripada itu – peralihan kuasa akan dilakukan setelah ekonomi negara pulih.
Kemudian lagi daripada itu – peralihan kuasa mungkin berlaku dalam tempoh tiga tahun.
Setelah kecoh-kecoh orang bercakap – saya sedia bincang tentang tarikh peralihan kuasa dalam Majlis Presiden PH.
Dua tiga hari lalu – peralihan kuasa tidak akan berlaku sehingga selesai Sidang APEC di Kuala Lumpur pada November 2020.
Di Doha semalam – saya akan letak jawatan bila masalah yang ditinggalkan kerajaan dahulu dapat diselesaikan. Bila tempohnya tak disebut pula?
Di Doha semalam juga – walaupun Anwar adalah pengganti saya, saya tidak dapat menjamin beliau yang terbaik untuk mengambil alih kerana saya ada pengalaman buruk sebelum itu.
Perlukah disebut lagi pengalaman peralihan kuasa kepada Tun Abdullah Badawi dahulu, walhal dalam konteks sekarang, Tun Mahathir sebenarnya terikat dengan janji bersama PH sebelum PRU14 lagi?
Esok lusa entah apa-apa lagi kata-katanya yang berubah dan berbelit-belit dilafazkan daripada lidahnya yang tidak bertulang itu.
Apakah semua ini disebabkan faktor usia atau ciri-ciri Melayu mudah lupa ada dalam dirinya?
Malah, kalau ada anugerah untuk mereka yang suka cakap berbelit-belit dalam negara ini – mungkin juga di dunia – barangkali Tun Mahathirlah pemenangnya.
Dalam hal ini, selalu Tun Mahathir menyebut tentang perlunya kita sentiasa berdisiplin dalam kehidupan, bukan saja untuk memastikan kemajuan dapat dicapai, tetapi juga agar kehidupan kita selalu dihormati semua.
Ya…disiplin, disiplin, disiplin….itulah yang selalu diperingatkan oleh Tun Mahathir selama ini.
Tetapi, apakah tidak menepati janji dan suka cakap berbelit-belit itu suatu disiplin yang baik dalam kehidupan seorang manusia?
Apa yang boleh rakyat pelajari atau generasi muda contohi daripada sekian banyak cakap berbelit-belit yang dipamerkan Tun Mahathir itu?
Apalagi ia dilakukan bukan saja oleh seorang Perdana Menteri, tetapi juga daripada mulut antara warga tertua Malaysia yang sepatutnya kita hormati?
Sekali lagi, cukup-cukuplah Tun!!! (ShahbudinHusin 15/12/2019)