KALAU TUN M TIDAK PASTI ANWAR BOLEH MENJADI PM YANG TERBAIK, MENGAPA PILIH SERTAI PH DALAM PRU14 LALU?



Samada sahih atau tidak, saya ada membaca laporan tentang kenyataan Tun M di Qatar yang menyebut beliau mahu terus menjadi PM sehingga beliau selesaikan masalah ekonomi negara.  

Katanya lagi, beliau berjanji akan serahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim walaupun beliau tidak pasti PM selepasnya itu lebih baik.  Sebelum ini, beliau ada menyebut akan serahkan jawatan PM kepada Anwar selepas Persidangan APEC bulan November nanti.

Saya cuma mahu peringatkan Tun M bahawa sekiranya beliau tidak yakin Anwar boleh jadi PM yang lebih baik  dari pemimpin Umno, kalau pun Tun M rasa Anwar tidak boleh melebihi kehebatannya, mengapa Tun M memilih untuk sertai PH sebelum PRU14 yang lalu sedangkan beliau amat faham PH sememangnya mahu Anwar menjadi PM?  Mengapa tidak Tun M bersama partinya sahaja melawan Umno tanpa bergabung dengan PH jika Tun M merasa beliau lebih hebat dari Anwar?  

Tun M tahu sejak tahun 1998 lagi Anwar adalah panglima menentang Umno/Bn. Prestasi Pembangkang waktu itu meningkat dari semasa ke semasa.  Sebelum PRU14, Tun M cuba untuk bergerak sendiri melawan  Najib Kleptokrasi dengan memperjuangkan deklarasi rakyat namun tidak mendapat sambutan dan ternyata gagal.  Di mana kekuatan peribadi Tun M?  Akhirnya, Tun M memilih untuk bersama PH yang dipimpin oleh Anwar dari penjara.  Di situ, barulah nampak cahaya perjuangan Tun M untuk menjatuhkan Najib, Umno/Bn.  Ertinya, Tun M bukanlah hebat sangat tanpa PH.  Itu realitinya.

Sskiranya susuk tubuh Tun M amat hebat, mana mungkin parti yang dipimpin oleh beliau yang bertanding paling banyak Kerusi di dalam PRU14 yang lalu, tetapi paling sedikit mendapat kemenangan? 

Atas persefahaman PH dan janji yang dimeterai, Tun M diangkat untuk menjadi PM ke 7, tanpa kita persoalkan adakah Tun M lebih baik atau tidak dari Najib.  Kita juga tidak pernah persoalkan adakah Tun M akan khianat atau tidak.  Kalau kita bersangka buruk, nescaya Tun M sekarang hanya sekadar menjadi MP Langkawi sahaja.

Oleh itu, amat malang sekali jika Tun M bersangka negatif terhadap Anwar untuk menjadi PM.  Tun M tidak perlu bermain dengan kata-kata lagi untuk memperbodohkan kami yang sanggup lupakan sejarah hitam Tun M demi memperjuangkan reformasi yang menjadi agenda utama kami.  Kalau kami tidak bersangka buruk terhadap Tun M, jangan pula Tun M mencurigai Anwar Ibrahim.  

Tun M mungkin terlupa atau buat-buat lupa tentang mandat yang rakyat berikan dalam PRU14 yang lalu iaitu mereka mahu Anwar menjadi PM dan terima Tun M hanya sementara.  PRK Tg Piai jelas menunjukkan rakyat sudah mula muak dengan karenah Tun M yang seolah-olah cuma meng"Umno" kan PH.

Kami akan bangkit menuntut janji dua tahun Tun M sebagai PM.  Samada Anwar lebih baik atau lebih teruk dari Tun M, itu belum dipastikan lagi, tapi yang pastinya sekarang Tun M masih tidak nampak hebat menjadi PM kerajaan PH. 

WFAUZDIN NS