Penyokong Pas kata saya kafir, ejen Yahudi, saya tak terkesan – Rafizi
Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli telah menjangkakan reaksi yang diterima daripada pemimpin dan penyokong Pas berikutan pendedahan beliau bahawa Datuk Nasharuddin Mat Isa yang rapat dengan pemimpin Pas menerima wang dari dana SRC Internasional Sdn Bhd dan dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seterusnya ke akaun bekas Timbalan Presiden Pas itu.
Menurut Rafizi, beliau telah melalui peristiwa yang hampir sama setiap kali mendedahkan sesuatu penyelewengan wang rakyat sejak tahun 2011 lagi, iaitu kes-kes yang tidak diambil tindakan atau yang kelihatan dilindungi kerana melibatkan Perdana Menteri atau Menteri kanan.
“Memang lumrah pihak yang terkena batang hidung akan memaki hamun saya.
“Ada pimpinan terkanan PAS yang menggelarkan saya kaki fitnah, ada yang menyuruh saya bertaubat. Seperti kebiasaannya saya dihukum dengan pelbagai gelaran dan penghinaan.
“Ada penyokong PAS yang tidak putus-putus menghantar mesej (melalui media sosial atau pesanan Whatsapp) menuduh saya kafir, ejen Yahudi dan pelbagai lagi.
“Saya tidak sedikit pun terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Cuma, kata Rafizi, beliau sedikit hairan apabila pemimpin bawahan Pas yang pernah mendapatkan khidmat ceramahnya menyerang BN dalam skandal NFC kini menganggap skandal itu adalah satu fitnah apabila berlakunya pendedahan melibatkan bekas pemimpin Pas.
“Apabila saya mendedahkan mengenai dana rakyat RM250 juta yang sepatutnya digunakan untuk membantu penternak lembu miskin digunakan untuk membeli hartanah mewah oleh keluarga menteri kanan, saya dimaki hamun oleh orang-orang Umno dan seluruh kekuatan jentera media Umno.
“Ketika itu, yang paling ghairah mahukan saya di pentas ceramah membawa isu ini ke kampung-kampung adalah pimpinan PAS dan jentera PAS. Permintaan untuk turun membantu kerusi-kerusi mereka membawa isu NFC ini paling banyaknya dari jentera PAS, bukan pun dari jentera KEADILAN kerana KEADILAN banyak bertanding di bandar-bandar.
“Hari ini, pimpinan dan jentera PAS yang sama yang mengitar semula alasan Umno mengenai skandal NFC kononnya saya memfitnah NFC, sedangkan mereka jugalah yang paling galak mengulangi pendedahan skandal NFC dahulu.
“Malah, mereka mengulangi alasan Umno kononnya Dato’ Seri Shahrizat Jalil menang saman terhadap saya mengenai kes NFC, sedangkan keputusan saman itu adalah kes lain yang tidak melibatkan pembelian kondominium mewah One Menerong di Bangsar dan kondominium di Singapura.
“Kes saman itu melibatkan penghakiman yang banyak berkisar mengenai tafsiran perkataan “menyeleweng” yang mengikut hakim “penyelewengan” memberi makna ada niat jahat dan beliau (hakim) tidak bersetuju ada bukti yang keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil berniat jahat dalam pembelian unit-unit hartanah di Ecocity, Bangsar,” katanya.
Oleh itu, tegas Rafizi, beliau tidak sedikit pun terkesan dengan sumpah seranah kerana itu memang risiko yang perlu dihadapi sebagai seorang wakil rakyat, jika ingin menjalankan amanah sebagai seorang wakil rakyat.
“Saya ingat pesan Dato’ Seri Anwar Ibrahim 19 tahun lalu semasa gerakan reformasi tercetus iaitu “jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan”.
“Sebab itu juga saya tidak memilih bulu dalam soal penyelewengan amanah rakyat.
“Saya menjadi Setiausaha Agung sebuah parti utama negara yang pertama dalam sejarah negara kita mutakhir ini yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai aduan rasuah di dalam parti saya sendiri.
“Apabila saya sendiri membuat aduan itu, ramai anggota KEADILAN yang mencemuh saya. Ramai penyokong pembangkang yang mencemuh saya.
“Namun, rakyat boleh menilai rekod yang saya tidak berubah-ubah memilih bulu mengenai rasuah. Tangkaplah dan siasatlah sesiapa pun di dalam KEADILAN atau Pakatan Harapan, dari yang di atas sampai di bawah jika ada bukti berlaku salah guna kuasa dan saya tidak akan mempertahankan anggota KEADILAN itu selagi tangkapan itu nampak jujur, telus dan bukan permainan politik.
“Oleh sebab itu, saya menyeru semua pimpinan politik supaya menunjukkan keamanahan yang jauh lebih baik dari yang ada sekarang kerana setiap gerak geri kita diperhatikan rakyat dalam dunia serba moden ini,” katanya lagi.