Semalam Najib Razak menzahirkan keyakinan bahawa UMNO dan BN mampu memenangi pilihanraya umum akan datang dan memperolehi mandat baru daripada rakyat, tidak kira sama pilihanraya diadakan tahun ini atau tahun depan.
Kata beliau, "tahun ini boleh menang, tahun depan pun boleh menang."
Sehubungan itu, Najib turut mengingatkan penggiat media sosial pro kerajaan agar segera berubah daripada sikap bertahan kepada menyerang.
Sudah-sudahlah bertahan, sekarang kita perlu menyerang, katanya di hadapan para penggiat media sosial yang dihadiahkan Samsung A9 setiap seorang.
Di ketika yang sama, Tun Mahathir Mohamad yang kini merupakan penasihat bersama Pakatan Harapan bersama Dr. Wan Azizah Wan Ismail, tetap juga yakin Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya umum akan datang.
Dengan rakyat dihadapkan pelbagai isu seperti 1MDB, Jho Low, kos sara hidup, GST, penarikan banyak subsidi, penguasaan Negara China dan banyak lagi, bekas Perdana Menteri itu berkata, "terlalu ramai yang tidak suka kepada kerajaan yang ada sekarang."
Dalam masa yang sama, ia dibuktikan lagi dengan sambutan rakyat terhadap program yang dihadiri Tun Mahathir yang terlihat amat luar biasa kehadirannya.
Tun Mahathir pula menghabiskan sekurang-kurangnya tiga atau empat hari seminggu untuk pergi ke luar ibukota, kampung-kampung dan kawasan Felda untuk meyakinkan tentang perlunya perubahan demi kebaikan rakyat seluruhnya.
Jadi, mana satu yang kita mahu percaya?
UMNO dan BN terus menang lagi atau Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Najib?
Sebenarnya tidak sukar menjangka kegusaran Najib menghadapi pilihanraya umum akan datang. Langkah terbaru beliau melantik sepupunya, Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri adalah petanda jelas ketidakyakinan untuk memenangi pilihanraya.
Kiranya beliau benar-benar yakin, tiada keperluan sama-sekali untuk memberi kedudukan istimewa kepada sepupunya, sebaliknya hanya perlu terus berusaha saja.
Ketika ini, Najib sedang menjelajah ke seluruh negara untuk meninjau keyakinan rakyat terhadapnya. Meskipun ramai yang menyambut ketibaannya, tetapi Najib juga tentu sedar sebahagian mereka dikerah dan diupah untuk menghadiri program-programnya.
Dengan itu, keaslian sokongan mereka atau atau sama ada kehadiran akan diterjemahkan dalam bentuk undi atau tidak, belum ada kepastiannya lagi.
Di Sabah pula, beliau dan Zahid Hamidi boleh dikata selang seminggu turun ke sana. Tidak pernah sekerap itu Sabah dikunjungi sebelum ini.
Apa petandanya?
Ia tidak lain memberi gambaran bahawa Sabah yang banyak menyumpang kerusi, selain Sarawak turut berada dalam bahaya. Ia juga bermakna, gempuran Shafie Apdal bersama Parti Warisan memang mendatangkan kesan yang nyata.
Perlantikan Hishammuddin, bersama kekerapan menjelajah ke seluruh negara, Najib kini mungkin sedang berkira-kira untuk menyelamatkan dirinya, walaupun ternampak tujuannya ialah untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya.
Jika dirasakan sokongan yang memadai tidak juga menjelma, Najib tidak mustahil akan meletakkan jawatan lebih awal iaitu sebelum pilihanraya dengan menamakan Hishammuddin sebagai penggantinya, sementara Zahid Hamidi kekal sebagai timbalan saja.
Kepercayaan untuk melakukan peralihan kuasa itu ialah untuk meletakkan rakyat lebih selesa membuat pertimbangan dengan hanya bersandarkan untuk mengundi BN berikutan perletakan jawatan Najib dengan sendirinya akan membuatkan isu seperti 1MDB dan Jho Low tersimpan di bawah karpet buat sementara waktu.
Mengapa Hishammuddin dipilih untuk menggantikannya ialah kerana sepupunya itu lebih dipercayai untuk melindunginya selepas keputusan pilihanraya berbanding Zahid Hamidi.
Sekiranya, keyakinan untuk menang itu masih ada, Najib lebih mungkin akan terus menghadapi pilihanraya akan datang, tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu bersedia jika keputusan buruk yang menjelma.
Kemenangan tipis BN dalam PRU 14 atau jika keputusannya lebih buruk berbanding pilihanraya 2013, boleh saja membuatkan Najib diasak untuk melepaskan jawatannya dalam pemilihan UMNO yang bakal diadakan selepas pilihanraya itu nanti.
Oleh kerana sudah dua kali pilihanraya beliau menyebabkan BN mencapai keputusan yang buruk, Najib tentunya tidak mampu bertahan lagi untuk terus berada di kerusi Perdana Menteri. Beliau tiada pilihan selain akur dengan kehendak akar umbi UMNO untuk mengundurkan diri.
Namun, jika ketika itu beliau terpaksa mengalah dan mengundurkan diri, sekali lagi Hishammuddin sudah pun berada di kedudukan "standby" untuk menjadi penggantinya.
Sama ada beliau mengundurkan diri sebelum atau selepas pilihanraya, kepercayaan Najib untuk melindungi beliau dan keluarganya tetap pada Hishammuddin.
Itulah sebabnya tiba-tiba saja sepupunya itu diberikan kedudukan yang istimewa dalam kerajaan seolah-olah Najib tidak mahu menunggu selepas PRU 14 untuk berbuat demikian. (ShahbudinHusin 16/04/2017).