2A Bakal Memendekkan Hayat Politik Najib

oleh: shahbudin husin

Kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak kini sedang diancam oleh dua isu besar iaitu Anwar Ibrahim dan juga Altantuya.  Kedua-dua isu ini yang sudah pun berakhir sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, tiba-tiba melibas dengan pukulan yang tidak disangka-sangka oleh Perdana Menteri.

Pemenjaraan Anwar yang diharapkan membawa sinar lebih cerah kepada UMNO dan BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang, di samping pergolakan dalam PR, akhirnya lebih membawa khabar buruk buat Najib.

Ini kerana melalui program jelajah ke seluruh negara yang dirancang oleh Pemuda UMNO bersama peguam Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan kes liwat melibatkan Anwar dengan Saiful, bukan saja memungkinkan simpati rakyat lebih memuncak, bahkan menyerlah lagi muslihat politik di sebaliknya.

Secara tidak langsung juga dengan program jelajah ke seluruh negara itu menyebabkan nama Anwar terus disebut dan diingati.

Dengan terus memburukkan dan menjaja cerita seks berkaitan Anwar ke seluruh negara sedangkan beliau sudah berada dalam penjara, sesiapa pun akan memahami bahawa akhirnya laba politiklah yang paling ingin dikaut sebanyak-banyaknya.

Dalam hal ini Pemuda UMNO, KJ dan Shafee, tanpa disedari, telah melakukan sesuatu yang lebih merugikan UMNO dan BN. Memenjarakan Anwar yang diharap menyebabkan Najib lebih selesa, sebaliknya mengundang lebih jalan sengsara.

Dalam isu Altantuya, sama seperti kes Anwar, ia juga sudah berakhir di Mahkamah Persekutuan dengan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan melakukan pembunuhan keatas model kelahiran Mongolia itu.

Tetapi dengan menghilangnya Sirul ke Australia dan kini merancang untuk mendedahkan siapa yang merancangnya melakukan pembunuhan itu, sekali lagi nama Najib terkait sama.

Najib pula gagal menyembunyikan rasa gabra dan gelabahnya dengan pendedahan yang bakal dibuat oleh Sirul itu dengan mengatakannya semuanya mengarut saja. Soalnya kenapa cepat sangat Najib rasa gabra dan gundah gulana dengan pendedahan yang bakal dibuat Sirul itu?

Tunggulah dulu apa biji butir yang didedahkan Sirul sebelum mahu mengatakan ia mengarut atau tidak.

Hari ini Isnin ini pula, Pas dijangka membuat telesidang dengan Sirul daripada Pusat Tahanan Imigresen, Australia selama 15 minit dengan wartawan dari Malaysia. Jika ini menjadi kenyataan dan ada pendedahan baru yang menggemparkan dibuat oleh Sirul, maka bergegar lagilah politik negara.

Tahniah kepada Pas dan Mahfuz Omar yang bertindak proaktif menghidangkan maklumat baru dan segar kepada rakyat.

Menjelang kira-kira tiga tahun sebelum pilihanraya akan datang, isu Anwar dah Altantuya ini pasti terus menghantui Najib. Ada yang berkata, Najib tidak mungkin dapat bertahan lebih lama dengan kedua-dua isu ini terus berlarutan sehingga pilihanraya akan datang.

Sokongan rakyat yang tidak meningkat di sebalik pemenjaraan Anwar dan tekanan yang dihadapinya, jika satu demi satu maklumat baru didedahkan oleh Sirul, pasti menjadikan Najib semakin tidak sesuai lagi duduk di kerusi Perdana Menteri untuk tempoh lebih lama lagi.

Semakin lama beliau kekal, semakin besar harapan BN akan kecundang. Ramai yang percaya Najib akan berundur atau akan dipaksa meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini.

Ada yang memberi tempohnya sehingga akhir Mac ini dan ada pula yang mengatakan sebelum akhir tahun ini.

Selain isu Anwar dan Altantuya yang juga dikenali sebagai 2A, Najib juga berhadapan dengan tekanan daripada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang antara lain menjadikan isu 1MDB sebagai sasaran utamanya.

1MDB kini dianggap sebagai skandal terbesar dalam era Najib yang bukan saja kerana hutangnya yang banyak menjadi persoalan, tetapi juga berkaitan keraguan pelaburan dan simpanan wangnya di Pulau Cayman.

Apabila GST dilaksanakan pada April nanti, Najib juga dijangka menerima kesan penolakan yang lebih besar lagi apabila wang dari poket rakyat semakin banyak disedut untuk menyelamatkan kantung kewangan negara yang kian menipis.

Bersama isu-isu yang sedang berlegar membelenggu Najib ketika ini dan poket rakyat pula kian dirobek atas nama GST dan kepentingan negara, agak menakjubkan jika beliau mampu bertahan lebih lama lagi. (SH 21/02/2015)

Gambar Najib dengan Sirul ini mula tersebar di media sosial sejak beliau melarikan diri ke Australia untuk mengelak hukuman mati yang dijatuhkan keatasnya...