Anak muda berperanan awasi penipuan SPR pada PRU 13 – Anwar
KAJANG 19 JANUARI: Anak muda termasuk mahasiswa perlu berperanan sebagai ‘mata’ bagi menyekat penipuan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berlangsung, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.“Masa PRU 13, kita mahu puluhan ribu mahasiswa turun bantu di luar, bukan kacau orang, bukan sekat orang tapi pastikan jangan ada penipuan.
“Penipuan akan ada tapi kita kena kurangkan. Insya-Allah kita tawan Putrajaya,” kata yang mengakui meletakkan harapan tinggi kepada generasi muda.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, anak muda boleh memain peranan sebagai alat penerangan ke peringkat bawah, selain mengesan penipuan melalui kecanggihan teknologi.
“Ada orang beritahu, buat apa buang masa dengan anak-anak muda, lagi pun mereka tidak mengundi. Saya kata – walaupun tak mengundi tapi mereka boleh beri penerangan kepada ramai orang.
“Malah, saya dapati anak-anak muda mempunyai kepakaran IT. Mereka buat kerja ini, semak balik dan dapat puluhan ribu bukti,” katanya disambut sorakan kira-kira 300 anak muda.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program “Meet Anwar” – Dialog Anak Muda Bersama Anwar Ibrahim di Hotel Oriental Crystal di sini, petang semalam.
Anwar percaya penipuan undi akan berulang pada PRU 13 berdasarkan peningkatan luar biasa jumlah pengundi baru selain kekeliruan daftar pemilih berikutan kekangan butiran peribadi dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Adakah pilihan raya akan datang bebas dan adil? Tidak. Saya bagi contoh angka penipuan – pengundi baru Selangor 450,000 tapi yang tidak dapat dikesan berdasarkan nama dan alamat rumah – 130,000.
“SPR kata tak apa tidak ada pun asalkan daftar, ada. Jadi boleh mengundi. Bagi contoh penipuan, tarikh lahir 20 Ogos 1939, pohon Januari 1950. Jadi siapa yang mendaftar?” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43518