Bekas Presiden Majlis Peguam Minta Nazri Faham Kes Sebelum Jadi Rujukan
SHAH ALAM 1 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz sepatutnya membaca fakta dan keputusan kes mahkamah Pilihanraya Kecil Pengkalan Kota, Teoh Teik Huat Lawan Lim Kean Siew dan Lain-Lain pada Februari 1981 sepenuhnya, berhubung keputusan membenarkan ‘pemberian’ kepada pengundi ketika pilihanraya.
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan ketika dihubungi Tv Selangor menjelaskan, memang terdapat kes seperti yang dirujuk Nazri namun kesimpulan di penghujung penghakiman perlu dipandang serius.
" Memang ada kes seperti yang dinyatakan oleh Nazri tapi harus dibaca secara keseluruhannya. Ada amaran dihujung penghakiman yang dibuat.
" Jika kes ini dibacakan sepenuhnya ada satu kesimpulan keputusan di akhir kes ini yang mengatakan bahawa kes ini diputuskan atas fakta sendiri dan ada satu caveat (amaran) yang diberikan oleh hakim bahawa kes ini tidak bermakna sesuatu pihak (boleh) melanggar undang-undang dan bukanlah sesuatu yang begitu jelas,"jelasnya.
Nazri sebelum ini merujuk kepada kes mahkamah 1981 yang memutuskan bukan menjadi kesalahan jika kerajaan yang memerintah mengumumkan peruntukan tidak kira sama ada ketika pilihanraya atau tidak.
Namun menurut Ambiga, keputusan mahkamah terbabit bukanlah satu 'lesen' untuk membenarkan mana-mana pihak untuk menabur janji semasa pilihanraya.
“Kes ini tidak boleh digunakan sebagai lesen untuk melanggar undang-undang,” tambah beliau.
Beliau juga berpendapat, amalan rasuah yang belaku semasa kempen pilihanraya di negara ini merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang pilihanraya.
“Pada pendapat saya, apa yang dilakukan sebelum ini pada pilihanraya daan sebagainya melanggar undang-undang pilihanraya,” katanya.
Terdahulu badan pemantau Transparency International Malaysia (TI-M) membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak boleh “diharap” sepenuhnya dalam
memastikan proses pilihan raya negara ini adalah bebas dan adil.
Selain presiden TI-M, Datuk Paul Low, timbalan presidennya Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan turut berpandangan rasuah ketika kempen pilihanraya adalah ibu
kepada semua rasuah.