IGP Kata Video Seks "Tulen", Berdiam Mengenai Identiti Pelakon


KUALA LUMPUR 1 APRIL : Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini mengesahkan rakaman video seks yang didalangi oleh "Datuk T" adalah "tulen" namun tidak memberi penjelasan sama ada pelakon di dalam rakaman itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih mengejutkan, beliau mengumumkan siasatan kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk tindakan lanjut.

Setakat ini Anwar sendiri tidak dipanggil untuk memberi keterangan sungguhpun siasatan polis adalah berasaskan laporan Anwar bahawa beliau difitnah oleh Datuk T menerusi rakaman itu pada 21 Mac lalu di Hotel Seri Carcosa Kuala Lumpur.

Datuk T merujuk kepada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul rahim Thamby Chik yang kini Pengerusi Risda, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim yang mendakwa kononnya video itu menunjukkan Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumour pada 21 Febuari lalu.

Anwar menafikan fitnah itu dan menegaskan beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya semasa rakaman itu dikatakan dibuat. Pejabat Parti Keadilan Rakyat mengemukakan catatan sembilan Twitter oleh Ketua Pembangkang itu untuk membuktikan Anwar berinteraksi menerusi alam siber pada malam berkenaan.

Pengumuman ismail bahawa polis sudah hampir selesai menyiasat kes itu mengejutkan kerana setakat ini difahamkan polis tidak mengambil keterangan bersabit penjelasan Anwar itu, atau mengambil kenyataan kakitangan dan ahli keluarga Anwar mahupun pejabat PKR sendiri mengenai pesanan Twitter beliau pada malam berkenaan.

Ismail hanya mengatakan pakar-pakar tempatan mengesahkan video itu tidak diubahsuai, justeru ia dianggap tulen.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nadzmi Nik Ahmad berkata pihak yang menyaksikan video itu tidak pernah mempertikaikan bahawa rakaman itu tulen, tetapi mempersoalkan sama ada pelaku dalam itu adalah Anwar sebagai yang di dakwa oleh Datuk T.

Antara lain, bahasa badan dan susuk tubuh pelaku dalam video itu adalah berlainan dengan Datuk Seri Anwar, Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul dan bekas Ahli Majlis Pimpinan PKR Badrulhisham Shahrin yang menyaksikan video itu memberitahu wartawan sebelum ini.

Mereka juga tidak dipanggil oleh polis untuk memberi kenyataan.

No comments: