SIAPA DIA SEBENARNYA

KUALA LUMPUR, Feb 4 — Nama Mohd Saiful Bukhari Azlan tiba-tiba menggegar negara apabila bekas pembantu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa dirinya diliwat oleh ketua pembangkang tersebut.

Saiful, 24, mula memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan kes pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Tinggi di sini yang bermula semalam.

Bekas pembantu peribadi Anwar itu memfailkan laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008 lalu dengan menyatakan dirinya telah beberapa kali diliwat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara paksa dan menurutnya kejadian terakhir berlaku pada 26 Jun 2008 di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Kuala Lumpur.

Saiful (gambar) yang dilahirkan pada 6 Julai 1985 merupakan anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang dibesarkan dan bersekolah di Damansara di sini.

Beliau merupakan bekas penuntut jurusan kejuruteraan elektrik Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi, Selangor tetapi gagal menamatkan pengajian.

Semasa di Uniten, beliau telah terpilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2006/2007 selain dipilih sebagai Ketua Pengarah Program Bakti Siswa Kemerdekaan 2006.

Setelah berhenti belajar di Uniten tanpa segulung ijazah kejuruteraan, Saiful menjadi sukarelawan di pejabat PKR di Petaling Jaya sebagai pembantu khas Anwar selain membantu ketua staff, Ibrahim Yaacob untuk menguruskan jadual Anggota Parlimen Permatang Pauh itu.

Menurut Saiful dalam blognya, antara tugasnya ialah mengatur pertemuan sulit dengan anggota parlimen yang ingin melompat parti di mana pertemuan itu diadakan di Kondominium Desa Damansara tersebut yang dakwanya milik teman rapat Anwar.

Sepanjang bertugas bersama Anwar, beliau pernah mengikut majikannya itu ke luar negara termasuk ke Hong Kong (awal Mei 2008), Bangkok (akhir Mei 2008) dan Singapura (16 dan 18 Jun 2008).

Pada 15 Ogos lalu, Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.

Kemudian, dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel, yang merupakan pertama kali beliau muncul sejak membuat laporan polis itu, Saiful menafikan tindakannya itu bermotifkan politik.

Pada 3 Mac tahun lepas, beliau membuat laporan polis terhadap sebuah blog yang mendakwa beliau kini tenat akibat sumpah laknat yang dibuatnya dengan memfitnahnya bahawa beliau terpaksa menggunakan tiub bagi membolehkannya membuang air besar serta alat sulitnya bernanah.

Dalam pada itu perkara yang agak menghairankan banyak pihak ialah kemampuan Saiful menyewa Unit 1151, Kondominium Desa Damansara tersebut yang sewa bulanannya adalah antara RM7,500 dan RM15,000 memandangkan beliau tercicir dalam pelajaran dan jenis pekerjaannya.

Beliau turut mewujudkan blog mohdsaifulbukhari.blogspot.com pada Jun 2008 dan penulisan pertamanya pada 7 Julai bertajuk “Buat Rakyat Malaysia” telah mencabar Anwar untuk bermubahalah di hadapan ulamak manakala penulisan kedua bertarikh 20 Julai telah menyentuh tentang fitnah berkaitan dengan tunangnya.

Saiful telah bertunang dengan penyampai berita sambilan di sebuah stesen televisyen swasta, Janna Syariza Mohd Zaki, yang juga mempunyai blog “A Step In My Pink Mary Janes” yang menyatakan memberi sokongan penuh kepada tunangnya itu. — Bernama

No comments: