SEWA MELAMBUNG 1100 %

Sewa Melambung 1100 peratus

Wednesday, 30 December 2009 11:02 AM Oleh Masdar Wahid

PITAS: Tindakan Majlis Daerah Kota Marudu/Pitas (MDKMP) menaikkan kadar sewa premis dan lesen kepada para peniaga di kawasan tamu Pekan Pitas disifatkan sebagai melampau dan membebankan peniaga di kawasan itu.

Setiausaha PKR Sabah, Mursalim Tanjul berkata, tindakan MDKMP ternyata bertentangan dengan slogan Najib Razak yang kononnya mendahulukan rakyat.

Menurutnya, MDKMP sepatutnya mengadakan perundingan dengan peniaga terlebih dahulu dan bukannya menaikkan secara mendadak.

Baru-baru ini, MDKMP telah mengeluarkan surat pekeliling untuk menaikkan kadar sewa premis sebanyak RM150 sebulan berbanding RM30 sebelum ini.

Turut dinaikan ialah kadar lesen sewa dari RM25.00 setahun kepada RM360.00 berkuatkuasa 1 Januari ini.

“PKR selaku parti yang konsisten membela nasib rakyat bersedia membantu peniaga itu dan berharap mereka boleh menghubungi pimpinan PKR yang berdekatan termasuk saya sendiri.

Saya juga akan cuba membawa perkara ini kepengetahuan wakil rakyat di kawasan itu bagi memastikan masalah itu diselesaikan dengan segera,” katanya yang baru dilantik ke jawatan itu baru-baru ini.

Beliau menambah, Secara matematiknya, kenaikan itu mencecah 400% bagi sewa premis dan 1100% bagi sewa lesen dan ia pastinya sesuatu yang melampau khususnya dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh lapisan rakyat khususnya di Sabah menolak BN dalam pilihanraya umum akan datang kerana pentadbiran itu jelas membelakangkan rakyat yang sepatutnya mendapatkan pembelaan.

Mengulas isu sama, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Ustaz Anuar Ali berkata, Pitas ialah antara kawasan termiskin di Malaysia dan seharusnya MDKMP mengambil kira faktor itu sebelum menaikan sewa berkenaan.

Menurutnya, Pitas bukan hanya kekurangan prasarana seperti jalan raya, bekalan air bersih, tetapi juga premis perniagaan di Pekan itu tidak diselenggara dengan baik.

“Saya amat dukacita dengan situasi itu, sepatutnya MDKMP mengutamakan penyelenggaraan premis perniagaan itu daripada hanya menaikan sewa yang pastinya tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menambahkan masalah semua pihak termasuk pengguna.

Jika sewa itu kekal, saya bimbang peniaga itu terpaksa menaikan harga barang dan pastinya kesan akhir akan ditanggung oleh pengguna di kawasan itu yang kebanyakannya berada dalam kelompok miskin tegar,” katanya kesal.

Sehubungan itu, beliau menyeru peniaga di kawasan itu bersatu mempertahankan hak mereka dengan mengadakan bantahan aman secara terbuka serta terhadap MDKMP bagi mendesak agar kenaikan itu ditangguhkan.

“Saya akan turun ke kawasan itu dalam masa terdekat dan bersedia membantu kumpulan peniaga itu bersama pimpinan PR yang lain di situ,” Tambahnya yang akan membawa isu itu keperingkat yang lebih tinggi.

Beliau turut menyelar pimpinan Umno dan BN di kawasan itu yang berdiam diri terhadap isu berkenaan memandangkan Parlimen Kota Marudu terletak di bawah seorang menteri iaitu Maximus Johnity Ongkili.

No comments: