
Rafizi Ramli ketika keluar dari bangunan SPRM selepas lebih 8 jam memberi keterangan pada hari pertama rakaman percakapan pada 4 Mei 2026.
PUTRAJAYA, 4 Mei – Selepas lebih lapan jam dirakam keterangan, akhirnya kelibat bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli muncul di hadapan pintu keluar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 6.45 petang tadi.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan dipanggil semula esok pada jam 10 pagi bagi menyambung proses siasatan yang masih berjalan.
“Proses siasatan biasa, mereka tanya dan saya jawab. Saya beri kerjasama penuh dan proses berjalan lancar, cuma ambil masa panjang.

“Jadi, saya ingat soal siasat bermula tepat pukul 10 sampai ke 6.45 lah,” katanya selepas keluar dari bangunan SPRM hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan dipanggil untuk beberapa hari lagi bergantung kepada jumlah soalan dan perkembangan siasatan.
Siasatan terhadap bekas timbalan presiden KEADILAN itu dipercayai berkait laporan yang dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia berhubung dakwaan usaha sama kerajaan dengan Arm Holdings (ARM).
Sebelum ini, media melaporkan Rafizi dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor itu.
Di bawah Akta SPRM, setiap soalan yang diajukan perlu dijawab, sekali gus menjadikan kehadiran peguam tidak begitu diperlukan dalam situasi tersebut.
“Kalau kita tak ada apa-apa yang nak disembunyikan, fakta itu kita ingat dengan baik, tak guna (tak perlu kehadiran peguam) juga ada peguam dekat situ,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dilaporkan berkata, Rafizi dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Malaysia memperuntukkan USD225 juta (RM930.52 juta) untuk perkongsian selama empat tahun dengan Arm Holdings bertujuan memudahkan syarikat tempatan mendapatkan akses kepada harta intelek dan teknologinya.


No comments:
Post a Comment