Cadangan Penyelarasan Bajet Tak Jejas Pengambilan Doktor, Jururawat – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya pada 4 Mei 2026.

PUTRAJAYA, 4 Mei – Pengambilan kakitangan kesihatan termasuk doktor dan jururawat tidak akan terjejas susulan cadangan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat kekeliruan berhubung cadangan penyelarasan bajet yang disalah tafsir seolah-olah menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

“Saya nak jelaskan pengambilan doktor baharu, jururawat itu tak terjejas, tak terkesan. Pembinaan klinik tak terkesan, cuma skop hospital yang mewah itu kurang,” katanya.

Kenyataan media Kementerian Kewangan pada 29 April 2026. Foto Kementerian Kewangan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Isu berkenaan timbul ekoran kekeliruan kononnya kerajaan ‘memotong’ perbelanjaan kepada beberapa kementerian tetapi Kementerian Kewangan menjelaskan, panduan telah dikeluarkan kepada Kementerian dan Agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimakan sumber Kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.

“Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi,” katanya.







No comments: