Naratif lama pernah bermain di ruang awam apabila ada yang mendakwa “Menteri DAP Cina jadi Menteri Wilayah, habislah Kuala Lumpur.”
Namun beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan gambaran yang berbeza apabila pelaksanaan projek keselamatan bandar mula menampakkan hasil. Dengan pelaburan sekitar RM500 juta, lebih 10,000 kamera litar tertutup atau CCTV telah dipasang di seluruh ibu negara bagi memperkukuh pemantauan dan respons keselamatan.
Pemasangan CCTV ini bukan dilakukan secara rawak, sebaliknya tertumpu di lokasi strategik seperti jalan utama, simpang sibuk, kawasan perniagaan serta kawasan tumpuan orang ramai.
Lebih penting, sistem yang digunakan bukan sekadar merakam visual, tetapi dilengkapi dengan keupayaan analitik pintar.
Ia mampu mengesan situasi mencurigakan, menganalisis data secara masa nyata, dan seterusnya menghantar isyarat kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera. Ini menjadikan tempoh respons lebih pantas berbanding kaedah konvensional sebelum ini.
Satu lagi perubahan ketara ialah integrasi antara pihak berkuasa tempatan dan pasukan keselamatan. Jika dahulu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia beroperasi secara berasingan sehingga menyebabkan kelewatan maklumat, kini sistem pemantauan telah diselaraskan.
Perkongsian data secara langsung membolehkan tindakan diambil dengan lebih cepat dan efisien, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan bandar secara menyeluruh.
Selain itu, teknologi yang digunakan turut merangkumi ciri-ciri moden seperti geo fencing, pengecaman wajah, pengesanan tingkah laku mencurigakan serta penggunaan pembesar suara automatik yang mampu memberi amaran dalam pelbagai bahasa.
Keupayaan ini bukan sahaja membantu menangani jenayah, malah berperanan dalam pengurusan kecemasan seperti kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas, dan amaran awal banjir.
Inisiatif ini memperlihatkan satu anjakan dalam pendekatan pengurusan bandar yang lebih berasaskan teknologi dan data.
Pengiktirafan juga wajar diberikan kepada pemimpin dan pihak yang terlibat, termasuk Hannah Yeoh, dalam memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
No comments:
Post a Comment