Pengurus sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan, mengakui berlaku kecuaian di pihaknya terkait kes kuota Budi Madani RON95 (Budi95) seorang pengguna yang lesap apabila nombor kad pengenalan (MyKad) digunakan individu yang tidak bertanggungjawab.
Mohamed Rusdi Md Nasir, 36, berkata sistem penggunaan Budi95 memberi kelonggaran untuk nombor MyKad pengguna diisi secara manual apabila terdapat kes kecemasan seperti cip tidak boleh dibaca.
Menurutnya, ketika kejadian tersebut, individu yang tidak dikenali itu mahu mengisi petrol namun mendakwa MyKad miliknya tertinggal.
"Jadi dia beri nombor MyKad dan mahu membuat pembelian tangki penuh.
“Kami akui berlaku kesilapan kerana membenarkan pembeliannya tanpa menunjukkan MyKad fizikal.
"Kami juga tidak alert (peka) jumlah pembeliannya sebab ramai pelanggan ketika itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai seorang usahawan yang mendapati kuota Budi95 miliknya digunakan pihak lain tanpa kebenaran dengan sejumlah 122 liter dibeli melalui dua transaksi.

Mohd Fadhli Noor, 39, berkata transaksi yang menggunakan kuotanya itu berlaku di sebuah stesen minyak di Tumpat pada 6 April lalu. Pada waktu dan tarikh tersebut dia sebenarnya berada di Kuantan, Pahang.
Menyedari berlaku kecurangan, dia kemudian segera membuat laporan polis semalam dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kes tersebut.
Rujuk ke kementerian
Sementara itu, Mohamed Rusdi berkata, pihaknya juga sudah diberi penerangan mengenai garis panduan penjualan bahan bakar dan diingatkan tidak boleh melakukan transaksi Budi95 kepada pelanggan yang gagal mempamerkan MyKad.
Katanya syarat mengemukakan MyKad ditetapkan walaupun ia didakwa mengalami kerosakan.
"Kalau sebelum ini ada kelonggaran, pada hari kejadian itu saya diberikan taklimat oleh pihak KPDN mengenai perkara berkenaan.
“Kemudian saya maklumkan kepada kakitangan stesen supaya patuh garis panduan baru ini.
"Saya beri jaminan insya-Allah perkara ini tidak akan berlaku lagi di stesen kami, jika masih ada berlaku, tindakan buang kerja akan diambil ke atas kakitangan yang didapati bertanggungjawab," katanya.
Tambah Mohamed Rusdi, polis juga sudah datang membuat siasatan dan pihaknya memberi kerjasama penuh.
Selain itu, dia juga sudah berhubung dengan Mohd Fadhli dan memberi penjelasan selain memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.
"Pihak kami juga menyatakan kesediaan untuk menggantikan semula kerugian yang dialami mangsa," katanya sambil memaklumkan dekoder kamera litar tertutup di premis itu mengalami kerosakan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafei, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa.
Menurut kes tersebut akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment