Tahan kenaikan harga minyak demi lindungi rakyat, kata PM Anwar


 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan berusaha sebaik mungkin menahan kenaikan harga minyak demi melindungi rakyat.

“Hakikatnya, kenaikan harga minyak yang dirasai hari ini bukan berpunca daripada kelemahan mana-mana pihak apatah lagi kegagalan kerajaan, sebaliknya dunia sedang berdepan krisis yang meruncing apabila konflik geopolitik menjejaskan bekalan tenaga global termasuk laluan strategik seperti Selat Hormuz sehingga menyebabkan harga melonjak di seluruh dunia.

“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI memilih jalan yang lebih berat tetapi berprinsip, menahan kenaikan demi melindungi rakyat ketika banyak negara terpaksa membiarkan harga bahan api meningkat dan Malaysia masih mempertahankan harga RON95 pada kadar RM1.99 setakat ini,” kata beliau dalam posting di facebook pagi ini.

Justeru, katanya, usahlah kita terperangkap dalam naratif sempit yang hanya menyalahkan kerajaan tanpa memahami konteks sebenar kerana ini bukan krisis tempatan tetapi gelombang global yang menuntut kita semua bersikap rasional dan berlapang dada.

“Saya juga menyeru agar kita terus memperkukuh kebersamaan, menolak perpecahan dan memelihara semangat ihsan yang menjadi teras negara ini.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh iltizam bagi menjamin kesejahteraan yang lebih menyeluruh dan inklusif buat seluruh rakyat,” katanya.

PM Anwar turut berkesempatan mengadakan pertemuan santai bersama pimpinan komuniti di Permatang Pauh, ruang yang amat bermakna untuk mendengar sendiri denyut nadi rakyat, menyelami keperluan setempat serta bertukar pandangan secara terbuka dan jujur.

Dalam pertemuan ini, beliau turut menyentuh isu-isu semasa termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dunia, namun dalam suasana mencabar ini Malaysia tetap berupaya mengurus keadaan dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan yang teliti.

Malaysia mengekalkan Harga minyak Ron95 RM1.99 untuk semua rakyatnya Ketika negara-negara jiran mula menghadapi krisis bekalan bahan api dan tenaga itu.

Thailand dan Vietnam menjadi negara yang paling terkesan ekoran kenaikan Harga minyak akibat perang di timur tengah.




No comments: