
Kenaikan harga bahan api dijangka memberikan impak besar kepada sektor pelancongan dan ia wajar diambil berat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Foto arkib
PENDAPAT, 23 Mac – Krisis di Asia Barat bukan sekadar membebankan kedudukan ekonomi secara keseluruhan malah turut terkena tempiasnya kepada kerancakan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang sedang diperhebat rangka promosinya ke seluruh dunia.
Justeru, cadangan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang merayu kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi minyak sementara kepada pengendali pengangkutan pelancongan, wajar dipertimbang bagi mengelak kempen TMM 2026 tidak mencapai sasaran menjana ekonomi negara.
Presiden MATTA Nigel Wong dalam satu kenyataan berkata kenaikan harga bahan api dijangka memberikan impak besar kepada sektor pelancongan dan ia wajar diambil berat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Dan ia sudah pasti merencatkan perkembangan TMM2026 yang memasuki bulan ketiga dengan pertambahan jumlah pelancong asing terus menunjukkan trend positif tetapi dibebani pula dengan peningkatan kos operasi membabitkan kos pengangkutan para pelancong.
“Pengendali pengangkutan pelancongan di seluruh Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu kemasukan pelancongan tempatan dan luar negara.
“Kebanyakan daripada pengendali ini telah pun menandatangani kontrak dengan agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa beberapa bulan lebih awal untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi pelancong.

“Harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah berdasarkan harga bahan api semasa kontrak ditandatangani. Dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini, pengendali kini berdepan kos operasi yang jauh lebih tinggi,” katanya.
Wong berkata keadaan ini memerlukan campur tangan segera bagi memastikan pengendali pengangkutan pelancongan dapat terus beroperasi dan menyokong ekosistem pelancongan.
“Pengendali pengangkutan pelancongan turut memainkan peranan penting dalam rantaian nilai pelancongan Malaysia, menyediakan perkhidmatan asas, untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan terjamin.
“Ramai pengendali komited dengan kadar kontrak tetap bersama agensi pelancongan berdasarkan harga bahan api sebelum ini. Kenaikan mendadak kos bahan api bermakna mereka terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan ini, yang boleh menambah beban kewangan,” katanya.
Sudah pasti bantuan sementara dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sambil mengekalkan kemampanan rantaian penawaran pelancongan dan mengekalkan trajektori pertumbuhan pelancong dan menjana pendapatan tambahan.
Buktinya, pelancongan perubatan sahaja menyumbang RM2.72 bilion pada 2024 dan data terkini dijangka terus meningkat kepada lebih RM5 bilion tahun lalu, sebagai contoh keberkesanan promosi agresif dan penawaran terbaik bagi menyaingi negara lain.
Justeru, para pengendali yang terkesan boleh mengemukakan jumlah tempahan pakej pelancongan yang telah disahkan sebagai salah satu bukti sokongan kepada mereka untuk meminta pertimbangan khas dalam membantu mereka ‘bernafas’ sementara kerajaan mencari jalan menangani impak krisis bahan api secara keseluruhan.
Adalah diharapkan pemain sektor pelancongan dapat bersabar sedikit sementara kita berharap krisis di rantau Timur Tengah itu berakhir segera dan mengurangkan tekanan kepada ekonomi negara.


No comments:
Post a Comment