22 Mac 2026
Berikutan PAS akhirnya bersetuju mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang dan pengumumannya akan dibuat hujung bulan ini, ramai yang mula meneka-neka siapakah yang akan mengisi jawatan tersebut?
Adakah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau Dr Sam selaku Pengerusi PN yang akan menjadi Ketua Pembangkang?
Atau jawatan itu akan diisi oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan, Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari atau mana-mana pemimpin PAS yang lain?
Siapa jua yang dilantik nanti, mereka mestilah bersedia untuk lebih agresif berhujah di Parlimen serta menyediakan pasukan penyelidik yang benar-benar berwibawa.
Begitu pun, pendapat yang tidak kurang popularnya ialah mahukan Dr Sam sendiri memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Hujahnya sebagai Pengerusi PN dan sebagai bakal Perdana Menteri, beliaulah paling sesuai memegang jawatan tersebut.
Sebenarnya bukanlah syarat wajib seseorang Pengerusi PN itu mesti memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Ini kerana Muhyiddin Yassin ketika sebelum ini menjadi Pengerusi PN, beliau tidak pun menjadi Ketua Pembangkang.
Selain itu, tidak semestinya juga bakal Perdana Menteri mesti daripada pemegang jawatan Ketua Pembangkang terlebih dahulu.
Setakat ini dalam sejarah negara kita, hanya Ismail Sabri Yaakob dan Anwar Ibrahim saja yang pernah memegang jawatan Ketua Pembangkang sebelum bergelar Perdana Menteri.
Lain-lain Perdana Menteri - Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Muhyiddin - semua mereka tidak pernah menjadi Ketua Pembangkang sebelum bergelar Perdana Menteri.
Dengan itu, sama ada sebagai Pengerusi PN atau bakal Perdana Menteri, bukanlah jatuh hukum wajib bagi Dr Sam memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Walaupun memegang jawatan Menteri Besar, tidak menjadi kesalahan daripada segi peraturan untuk Dr Sam menjadi Ketua Pembangkang pada waktu yang sama.
Namun demikian, sebagai Pengerusi PN dan Menteri Besar Terengganu, adalah dirasakan Dr Sam tidak begitu sesuai memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Ini kerana dibimbangi beban tugas sebagai ketua kerajaan negeri Terengganu akan membatasi keperluannnya untuk sentiasa berada di Parlimen.
Tanpa selalu berada di Parlimen, sudah tentu beliau tidak mampu berperanan dengan lebih berkesan sebagai Ketua Pembangkang.
Sedemikian, adalah lebih baik pemimpin PAS yang lain memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Memandangkan matlamat besar PN ialah untuk mengambil alih kerajaan selepas PRU akan datang, calon Ketua Pembangkang yang dilantik nanti haruslah yang benar-benar berkesan dalam berhujah di Parlimen dan menangani isu-isu semasa yang melibatkan rakyat.
Sebab akhirnya nanti, siapa Pengerusi PN dan siapa Ketua Pembangkang, yang paling penting ialah kemenangan dalam pilihan raya.
Peranan Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang harus saling melengkapi dan mampu menjelmakan kemenangan yang diimpikan itu. - ShahbudinHusin 22Mac2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1242789654510818&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment